Pancingan bersempena promosi Rock & Raya Music Bliss yang sukar ditepis, sebuah gitar LTD Iron Cross James Hetfield signature. Bukan selalu dapat gitar Papa Het pada harga yang dikira agak *mampu milik. Ditambah penghantaran percuma menggunakan East Link Freight yang mengambil masa sehari untuk sampai ke Bintulu.
Sudah lama teringin untuk memiliki gitar LTD signature James Hetfield (kalau versi ESP memang tak mampulah) sejak dari zaman Truckster lagi. Tapi Truckster jenis relic'd, aku tak suka gitar relic'd, sehinggalah ada model Snakebyte, Iron Cross dan Vulture.
Snakebyte tidak ditawarkan dalam promosi, Vulture pula menurut info juru jual Music Bliss tidak didatangkan dengan hardcase, maka ironinya model Iron Cross ini dipilih. Lagipun model ini sudah lebih 10 tahun dalam pasaran (rilisan 2014), dan berkebarangkalian besar mungkin ESP akan menggantikannya dengan model JH-Eclipse lain tak lama lagi.
Kalau tak silap model Iron Cross putih ini bersempena konsert Freeze 'Em All di Antartica 2013 dulu. Diinspirasikan daripada Iron Cross lama (distressed black) yang asalnya ditiru daripada estatika Uncle Milty UM73 (Gibson 73 Les Paul Custom). Spesifikasi lain tak perlulah aku ceritakan, boleh rujuk website ESP.
Produk kilang World Musical Instrument Co. Ltd. Korea bernombor siri W23050451 iaitu keluaran ke-451 bulan Mei 2023. Kalau gitar signature LTD kualiti pertukangannya memang setaraf Deluxe 1000-series. Didatangkan sekali dengan hardcase ESP yang khas untuk bentuk Eclipse, membuatkannya lebih berbaloi-baloi per harga.
Secara harfiahnya ia sebuah Eclipse dengan pickguard, aku memang sucker untuk bentuk Eclipse. Dengan berat sekitar 3.6 kg tak jauh beza daripada Shiro (ESP Eclipse-II) sekitar 3.5 kg. Radius fretboard yang agak rata 350 mm (~13.78") berbanding 305 mm (~12") pada Eclipse biasa.
Yang janggal hanyalah kedudukan suis toggle di bawah ikut spesifikasi Hetfield dan bukannya di atas (dummy) seperti kebiasaan Les Paul dan Eclipse.
Bernadi pikap EMG JH HET Set antara set pikap idaman sejak ia diperkenalkan. Serius, pikap ini agak berbeza berbanding EMG 81/60, ia hanya akan "garang" selepas tombol volume dipulas melebihi 7. Aku tak pasti adakah ia dipengaruhi oleh potentiometer atau memang spesifikasi pikap ini.
Didatangkan dengan set tali D'Addario (10-46?) dan telah sedia dengan setup Eb-standard yang agak memuaskan, action yang agak rendah, dan neck yang lurus. Aku hanya perlu touch-up sedikit talaan dan laras ketinggian pikap sahaja.
Isi perutnya adalah jenis hardwired to self-destruct, berpateri dan bukannya sistem easy-connect EMG aftermarket yang diguna dalam versi ESP (contoh dalam video ini). Yang ini akan dibiarkan seadanya selagi gitar ini berstatus gitar koleksi.
Kecuali jika datang gatal tangan main pateri, mungkin aku akan pindahkan suis ke atas dan jadikan konfigurasi tombol 2V2T seperti Les Paul. Kaviti suis atas ini ada routing untuk wayar ke bahagian kaviti potentiometer tadi, standard routing Eclipse/EC-series.
Terlalu banyak ciri-ciri Hetfield pada gitar ini; 1) initial "JH" pada headstock, 2) perkataan "Iron Cross" pada penutup truss rod, 3) Iron Cross flag pada fret ke-12, 4) EMG HET Set, 5) konfigurasi suis, 6) racing stripes, 7) emblem Iron Cross besar, 8) dan tak lupa ada nama lagu Metallica di bahagian belakang bertulis "Battery" (lawak Andertons).
*Dengan promosi tadi ia berdiskaun ~37% daripada harga asal katanya sehingga 30 April sahaja. Tapi sehingga entri ini dipos, masih lagi harga promosi. Kalau harga asal memang aku tak pandanglah, kerana aku agak skeptikal dengan gitar-gitar berharga melebihi RM5k untuk tahap kasta aku. Namun begitu, ia menurunkan takhta Shiro (sebuah ESP terpakai) sebagai gitar aku paling premium setakat ini.
Beza hardcase batch Iron Cross (kiri) dan ESP Eclipse (kanan). Sekarang memang susah nak cari gitar yang datang sekali dengan hardcase pada harga bawah RM5k. Nickname? Tak perlu nickname, biarlah IRON CROSS sahaja. Bila nak beraksi? Oh, ini gitar koleksi, hanya mainan syok sendiri di rumah sahaja. Lagi rela membawa Shiro keluar.
_____
AADI: Mungkin akan "pinjam" HET Set dan pasang pada Shiro.
1 comment
Lawa
Post a Comment