Menerima sebuah Ibanez Gio GRGR221PA untuk dipasangkan dengan set pikap DiMarzio D Sonic dan D Activator-X seperti yang diceritakan dalam entri semalam. Gitar milik seorang gitaris metal generasi muda Bintulu yang menyertai banyak band selain band utamanya Hemewrath.
Walaupun fizikal gitar ini masih nampak baru (keluaran 2022), tapi bridge, tombol-tombol logam dan segala skru pada pickup ring berkarat teruk. Fretboard kayu purpleheart nampak sehitam ebony dan reversed headstock Ibanez memang nampak ganas. Tiba-tiba aku terGAS kembali dengan model GRGR131EX.
Dalam spesifikasi, badan gitar ini berkayu okoume manakala permukaan atas adalah basswood dengan kemasan "poplar burl art grain" berwarna aqua burst (AQB). Dengan kata lain corak kayu cantik itu hanyalah imej ("art") dan bukannya corak urat kayu sebenar. Sebab itu ia agak ringan sekitar 2.9 kg sahaja.
Untuk sebuah Gio buatan China, pertukangan kayu memang kemas, sekemas full-fledged Ibanez buatan Indonesia. Cuma aku tak berapa berkenan dengan harga pasaran siri-siri Gio sekarang yang melebih tahap RM1k. Kalau 10-15 tahun lepas, harga sebuah Gio hanya sekitar RM600-900 sahaja.
Kaviti isi perut pun nampak kemas bercat konduktif, hanya wayar-wayar sahaja tidak dikemaskan, dibiarkan begitu sahaja. Comel pula warna kod wayar pikap Ibanez IBZ-6 pink (neck) dan hijau (bridge).
Menggunakan suis 5-arah Ibanez *3SWLGSC yang amat memudahkan kerja-kerja pematerian kerana telahpun ada label pada setiap terminal, seperti suis 3SWSLP5 pada Lagoon (RGA42FM) dan RG370AHMZ Nuing. Tidak seperti suis 5-arah tradisional yang sentiasa kena rujuk skematik supaya tak tersilap terminal.
Kerja-kerja pematerian hanya mengambil masa sekitar 15-20 minit sahaja disebabkan faktor seperti perenggan di atas tadi. Seperti biasa, wayar-wayar dalam isi perut diikat kemas dengan cable tie untuk meneruskan legasi YusTech.
Selebihnya banyak masa diluangkan untuk membersihkan gitar ini, fretboard dikondisi dengan produk kimia Jim Dunlop dan dalaman potentiometer disembur dengan electronic contact cleaner untuk menghilangkan bunyi-bunyian yang tidak diingini semasa memulas tombol.
Hanya action sahaja yang tidak dapat dilaras sepenuhnya kerana bridge sudah berkarat teruk terutama pada saddle tali tebal EAD. Ini biasanya terjadi disebabkan palm-mute yang ekstrim tetapi tidak dibersihkan selepas setiap kali penggunaan berat. Residu kulit dan peluh tertinggal pada permukaan mempercepatkan lagi proses pengaratan.
Dipasangkan juga dengan set tali baharu yang dibekalkan iaitu Dunlop DEN1156 (11-56), ditala dan diintonasi pada drop-B seperti diminta.
Feedback daripada tuan punya gitar - respon D Sonic memang tight manakala sustain D Activator-X agak panjang, kedua-duanya amat sesuai untuk muzik bertalaan rendah. Gitar ini juga katanya bakal beraksi untuk gig besar di Sibu bulan Julai nanti.
_____
AADI: *Rasa nak cari suis begini di Shopee.
0 comments
Post a Comment