Pancingan kedua dan terakhir bersempena Year End Sale 2025 CK Music, sebuah amp Blackstar ID:Core Stereo 40 V2. Sebenarnya ia sudahpun berdiskaun 50% penghabisan stok sejak sebelum YES lagi atas klausa display unit, kerana ia merupakan generasi kedua V2, tatkala generasi terkini ialah V4.
Untuk spesifikasi penuh (V4) boleh rujuk website Blackstar. Spesifikasi utama V2 ini sama sahaja seperti V3 dan V4, yang berbeza hanyalah tambahan inovasi pada V3/V4 iaitu line-in/streaming (V3), handle bar (V3), CabRig Lite (V3), USB type-C (V4) dan power reduction 1W (V4).
Model 20 dan 40 dapat digunakan bersama-sama footswitch FS-18 (tidak dibekalkan) untuk menukar patch. Tapi aku rasa ia compatible dengan footswitch jenama berkabel TRS lain, contohnya Digitech FS3X yang ada dalam axology aku. Akan dieksperimentasikan kelak.
Secara harfiahnya ia boleh dikatakan bukan sebuah amp gitar, tetapi lebih kepada amp modeler + power amp + 6.5" FRFR stereo speaker. Modeling dan efeknya biasa-biasa sahaja, tapi teknologi "super wide stereo" adalah kelebihan amp ini.
Boleh digunakan bersama-sama aplikasi Architect (menggantikan Insider) untuk mengedit setting dan patch daripada PC/laptop. Dan juga serasi dengan aplikasi DAW untuk rakaman terus USB. Sayangnya lesen Presonus Studio One Blackstar Edition (2016) yang dibekalkan tidak lagi dapat digunakan kerana aplikasi tersebut telah discontinued.
Dengan kuasa 40 Watts (20 Watts x 2) juga, ia sudah cukup kuat untuk jamming skala kecil jenis grab-and-go. Untuk kegunaan di rumah, bagi aku volume suku pun sudah memadai.
Aku hampir terlupa yang aku pernah ada ID:Core Stereo 10 generasi pertama (V1) lebih sedekad lepas. Tapi telah dilepaskan kepada Nuing beberapa bulan kemudian (tiada entri AADI) yang lebih memerlukan amp praktis ketika itu.
Pancingan bersempena Year End Sale 2025 CK Music, sebuah multi-effects Zoom G3n. Dalam website CK Music mahupun platform Lazada, model ini tidak berdiskaun YES (mungkin kes tak update harga?). Tapi dalam platform Shopee mereka ia berdiskaun 40% menjadikan harganya kini lebih murah berbanding G1X Four.
G3n/G3Xn merupakan generasi kedua (dengan suffix "n"), menggantikan generasi pertama G3/G3X. Namun ia sudah discontinued dan Zoom masih belum mengumumkan pengganti generasi ketiganya.
Tahun lepas hampir-hampir menarik picu untuk G3n ini, tetapi dana-dananya telah dipintas oleh amp HT Metal 1 Snake Skin. Nasib baiklah masih sempat mendapatkannya tahun ini sebelum ia betul-betul pupus dari pasaran disebabkan klausa discontinued tadi.
Fitur dan teknologinya tak banyak berbeza dengan G1X Four, hanya berbeza kuantiti efek atau kekuatan pemprosesan bunyi digital (DSP). Maksimum tujuh blok berbanding lima pada G1X Four.
Tapi efek AMP sudahpun memakan dua blok, ditambah lagi satu blok untuk efek CAB. Tinggal empat lagi blok untuk efek lain, jadi kena berhemah memilih efek. Untuk memaksimumkan efek, boleh diasimilasikan bersama-sama pedal lain contohnya overdrive dan/atau MS-70CDR.
Didatangkan dengan firmware v2.00, terus aku update kepada firmware terkini v2.20 dengan tambahan lagi tiga efek baharu iaitu dua amp dan kabinet (KRAMPUS/KP4x12, REDLOOM/RED4x10) dan satu modulasi GEMINOS (doubling tracking) yang aku rasa seperti efek TC Electronic Mimiq.
Juga seperti G1X Four, sambungan USB hanya berfungsi untuk update firmware dan sambungan aplikasi Zoom Guitar Lab, bukannya untuk rakaman USB.
Dengan adanya G3n ini, expression pedal FP02M kini dapat digunakan setelah sekian lama terperap sejak RP360 dilepaskan. Dan model G1X Four yang masih baharu dan bau kedai akan cuba untuk dilepaskan kepada lingkungan rakan-rakan gitaris untuk modal pusingan.
Sedikit luahan hati, aku rasa selepas model G3n/G3Xn dan G5n, tiada lagi model multi-effects Zoom terkini yang menarik perhatianku. Zoom pun kini nampak lebih fokus kepada produk untuk content creators (microphones, mixers, recorders) berbanding ahli muzik.
Kalau dulu jenama Zoom menang sinonim dengan multi-effects golongan marhaen kerana harganya yang lebih ekonomi berbanding jenama saingan (ketika itu). Tapi untuk model-model terkini harga pula sudah tidak mesra marhaen per fitur yang agak tidak menarik atau biasa-biasa saja berbanding jenama-jenama China yang kini kian trending - Mooer, Nu-X, Hotone, Valeton, Donner dan Joyo.
YES CK Music sudah seperti tidak semeriah dahulu. Kalau sebelum ini (pra-PKP) biasanya aku akan target produk Zoom, Korg ataupun Line 6 (sebelum diambil Yamaha). Zoom pun sekarang lebih banyak fokus ke arah produk untuk content creator berbanding pemain gitar/bass.
Kalau adapun produk berkaitan gitar/bass (multi-effects) seperti sudah tidak menarik baik dari segi fitur mahupun harga. Sudah tiada efek murahan seperti G1/G1X (1st gen), G1N/G1XN (2nd gen), dan G1on/G1Xon (3rd gen). Masuk G1 Four/G1X Four (4th gen) harganya sudah tidak mesra marhaen lain.
_____ AADI: Teringat zaman berurusan dengan Bro Amizan dulu.
Pancingan kedua dan terakhir bersempena YES 2024 CK Music, sebuah Vox amPlug 2 Metal. Dipesan penghujung tahun beberapa minit sebelum 2025 dan tamat masa promosi. Dengan rilisan generasi ketiga amPlug 3, harga generasi kedua ini memang semakin *murah.
Juga diperolehi melalui platform Lazada seperti HT Metal 1 minggu lepas untuk mengeksploitasi kupon diskaun tambahan dan pengeposan percuma berbanding melalui website rasmi CK Music.
Pernah memiliki versi Classic Rock hampir sedekad lepas tapi sudah rosak. Juga pernah memiliki amPlug generasi pertama berperisa Night Train, tapi telah diwariskan kepada anak buahku si Aizuddin Madani musim PKPx lepas.
Sebelum terlupa, pernah juga membelikan amPlug 2 Metal ini untuk seorang rakan ketika YES 2014, dan sempat memandu-ujinya sebelum dituntut. Antara sebab aku memilih versi Classic Rock tahun berikutnya untuk kelainan.
Rasanya, tak perlulah buat entri ulasan lagi.
_____ AADI: *Harga YES 2024 sama seperti harga runcit 2014, inflasi...
Pancingan sempena Year End Sale 2024 CK Music, sebuah amp Blackstar HT Metal 1 Limited Edition Snake Skin berdiskaun 50% sebagai ganjaran diri (self-reward) bersempena ulang tahun aku minggu lepas.
Berbekalkan saki-baki dana pelepasan abang besarnya Series One 10 AE (S1-10AE) bulan lepas sebagai modal pusingan. Diperolehi melalui platform Lazada yang menawarkan kupon diskaun tambahan dan pengeposan lebih murah berbanding melalui website rasmi CK Music.
Ironinya model inilah yang ingin dipancing ketika YES tahun lepas, tapi dipotong oleh S1-10AE yang lebih berbaloi per harga/spesifikasi. Ini model edisi terhad tahun 2016-2017(?) dengan kemasan kulit ular berbanding model biasa berwarna hitam. Dan seperti amp siri HT Metal yang lain, ia sudah lama discontinued.
Berkuasa hanya 1 Watt dengan speaker 8" cukuplah untuk dimainkan setakat kepuasan sendiri di rumah. Tapi boleh saja disambungkan dengan kabinet yang lebih besar (4-16 Ohm) untuk bunyi yang lebih ohsem. Untuk kes aku cuba disambungkan dengan kabinet Vox V110NT untuk lebih bassy. Ada peluang mungkin akan dibawa ke studio jamming sambung dengan kabinet 4x12.
Ulasan? Malas dah nak ulas-ulas, tengok saja video demo mat Siam di bawah ni, demo paling ohsem untuk produk ini di YouTube.
Mutakhir ini memang tidak lagi relevan untuk aku menggunakan amp dengan kuasa melebihi 1 Watts (tube) atau 10 Watts (solid state) di rumah, lebih-lebih lagi dengan adanya CR3-X. Dan percayalah, amp ini akan lebih menjadi koleksi peribadi berbanding kegunaan harian, kah kah kah...
Antara yang dinanti-nanti setiap hujung tahun, tapi tahun ini bagi aku tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya... Seperti hampir tiada barangan yang menarik perhatian, kalau ada pun harganya masih mahal walaupun selepas diskaun YES.
YES 2017, tahun terakhir dapat katalog fizikal.
Katalog pun setakat entri ini ditaip masih belum ada link pdf. Kalau zaman Bro Amizan dan Mr. Hong dulu aku siap dapat katalog fizikal dengan setiap pembelian barangan YES.
Perolehan bersempena Mid Year Sales CK Music, sepasang multimedia powered monitor speakers Mackie CR3-X. Selain diskaun MYS, unit ini sudahpun berdiskaun *B-stock ditambah lagi dengan kupon BNPL maka amat berbaloi-baloilah harganya.
*Berstatus B-stock dengan klausa opened-box (display unit?) dan kehilangan kabel RCA. Kabel dan wayar lain masih ada. Sudah lama ingin memiliki speaker tahap studio monitor untuk dipadankan dengan amp modeling dan multi-fx terutamanya sikacang hitam Pod HD Desktop. Juga bisa dijadikan multimedia speaker yang overkill untuk PC dan PS4 Pro.
Memiliki tiga jenis input - stereo 1/8", 1/4" dan RCA. Kelebihannya boleh disambung pada tiga jenis peranti sekaligus tanpa perlu bertukar-tukar input. Input 1/8" untuk PC, input 1/4" pula untuk Pod HD manakala input RCA untuk PS4 atau peranti mudah alih lain.
IDK man cave 2024.
Kualiti bunyi tak payah ceritalah, dengan woofer kecil 3" bunyi bass dapat menyelubungi keseluruhan bilik. Tweeter 0.75" pun cukup-cukup nyaring untuk menyeimbangkan bunyi. Dengan kuasa 50 Watts, pada volume 40-50% pun aku rasa dah cukup kuat untuk kegunaan harian.
Cuma kalau ikut setup yang aku guna, jarak antara kedua-dua speaker sepatutnya dijauhkan sedikit supaya julat stereo lebih optimum. Namun apakan daya, ruang meja PC aku (digunakan sejak 2007) agak terhad, mungkin perlu tambahan speaker stands jika terlalu OCD kelak, atau meja yang lebih lebar.
Pembelian sampingan sebagai penggenap nilai sebuah clip-on tuner CT-1 daripada Carry-on (by Blackstar). Clip-on tuner paling murah dan berbaloi dalam katalog CK Music.
Entri pertama untuk 2024. Perolehan terakhir sebelum Year End Sale 2023 CK Music tamat, dipesan pada 29/12/2023, diterima pada 2/1/2024.
Mengambil peluang diskaun 50% untuk produk tali GHS dengan mendapatkan set tali Bass Boomers SL3045 (40-95). Dengan diskaun tadi set ini dikira amat murah, semurah sepeket tali gitar Elixir Polyweb.
Disimpan sebagai stok untuk bass hijau *Tommy aku (Ibanez SR300). Saiz 40-95 dipilih supaya sama seperti set D'Addario EXL220BT yang dipasang dua tahun lepas.
Banyak pula stok GHS aku kali ini. Bulan lepas dah tapau tujuh peket pelbagai perisa, penangan diskaun 50% YES CK Music. Tatkala harga jenama kegemaran lain melonjak naik, inilah cara untuk kekal siuman.
_____ AADI: *Bakal 10 tahun dalam axology bulan Mac kelak.
Pancingan bersempena Year End Sale 2023 CK Music. Sebuah amp Blackstar Series One 10 Anniversary Edition (S1-10) berdiskaun 50%. Berbekalkan dana-dana hasil pelepasan ex-Sven beberapa minggu lepas terus dilaburkan untuk sebuah tube amp sebelum dirampas oleh benda lain.
Pada mulanya ingin mendapatkan HT-5R combo Mark I (Mark II masih mahal), untuk menggantikan HT-5RH head + HT112 cab yang telah dilepaskan tahun lepas. Tapi dengan diskaun 50% tadi, harga S1-10 ini hampir sama dengan HT-5R combo.
Spesifikasinya tak perlukah aku ceritakan, boleh rujuk demo oleh Dagan PMTVUK di atas.
Sebagai pembelian sampingan, menambah stok tali gitar jenama GHS yang juga berdiskaun 50% terdiri daripada Boomers GB9 1/2 (9.5-44), Burnished Nickel BNR-L (10-46) dan Coated Boomers CB-GBXL (9-42). Juga diberikan beberapa keping pick Blackstar dan sticker sebagai hadiah percuma.
Kebetulan sebelah malamnya ada sessi jamming di Luk Lalai Studio (NV Studio), amp ini dibawa sekali untuk dipandu uji prestasinya. Mungkin aku boleh rumuskan kelebihan dan kelemahan S1-10 ini berbanding HT-5 yang pernah dimiliki seperti berikut:
Kelebihan
Edisi terhad ulangtahun ke-10 Blackstar (keluaran 2017), hanya ada 1000 unit seluruh dunia. Kini sudahpun discontinued, tapi masih boleh didapati dalam bentuk reinkarnasi Studio 10 KT88 yang lebih mahal.
Bahagian belakang speaker dilindungi sangkar logam. Dapat mengelak makhluk-makluk kecil masuk.
Kuasa 10 watts berbanding 5 watts pada HT-5. Agak overkill untuk kegunaan bilik tidur, tapi cukup optimum untuk kegunaan studio jamming.
Overdrive lebih keras (Series One, beb!), bass lebih boomy. Tapi tidak semetal Zombie II.
Clean channel juga bisa menjadi crunch pada GAIN melebihi 12-2 o'clock (bergantung pada jenis pikap).
Kelemahan
Tombol-tombol yang terhad terutama untuk melaras EQ, hanya ada ISF agak sukar mencari ruang sonik yang sesuai ketika jamming supaya tidak tenggelam oleh frekuensi lain.
Tombol GAIN dan MASTER VOLUME yang dikongsi untuk kedua-dua channel clean dan overdrive. Sukar untuk mendapatkan keseimbangan bunyi antara keduanya pada nilai GAIN yang sama. HT-5 ada tombol VOLUME berasingan untuk setiap channel.
Tiada indikator pada amp apabila channel overdrive dipilih, seperti LED merah pada HT-5.
Tiada MP3/LINE input (tak penting pun).
Tiada pilihan emulasi kabinet 1x12 atau 4x12 pada output headphone seperti yang ada pada HT-5.
Rumusan - Kalau nak guna sebagai platform pedal, clean channel memang cemerlang. Kalau nak full out distortion onslaught, overdrive channel memang keras. Untuk ulang-alik antara kedua-dua channel (footswitch disertakan) memang ada sedikit leceh disebabkan poin kelemahan nombor 2 di atas.
Tapi ini hanya pendapat aku, mereka yang berpengalaman ada cara atau kaedah untuk mengatasinya. Mungkin aku perlukan masa untuk membiasakan diri dengan karekter amp ini.
_____ AADI: Otomatik GAS Laney TI15-112 juga tewas.
Bersempena jualan Founder's Day CK Music aku ada memesan satu set barangan podcast yang aku rasa memang murah gila berbanding harga asal. Aku rasa macam tak munasabah kerana diskaunnya hampir 90%. Tapi tak salah mencuba dan terus masuk bakul, kot-kot macam kes B-stock Dinky.
Beberapa hari kemudian dihubungi oleh seller CK Music, orang yang sama aku deal ketika memesan ex-Celeb (Ovation Celebrity CC24S) dulu. Seperti yang dijangka mereka salah letak harga, terlupa letak satu digit, patutpun murah gila. Ada sesetengah seller mereka akan "honour the price" kalau mereka yang salah. Tapi tak mengapa, aku faham.
Jadi aku gantikan pembelian dengan produk Music Nomad iaitu Precision Nut Height Gauge dan Precision Truss Rod Gauge. Kedua-dua alatan ini amat berguna untuk mengetahui lurus, cekung, cembung fretboard yang optimum dan ketinggian nut untuk menentukan tinggi/rendah action dengan mudah dan jitu.
Sebelum ini untuk rujukan peribadi, aku hanya menggunakan pick 1.14 mm diletakkan di bawah tali GBE pada fret ke-12 dan action ditinggikan cukup-cukup sebelum pick itu jatuh. Untuk kelurusan fretboard pula biasanya aku pakai pembaris 1 meter. Semua main agak-agak sahaja secukup rasa.
Sejajar dengan tema "hobi lama menjana dan mendanakan hobi baharu", dana-dana hasil jualan komik Dewata Raya beberapa minggu lepas dilaburkan untuk seunit Zoom B1Xon, NOS (new old stock) dengan diskaun 25% penghabisan stok.
Diperolehi daripada CK Music melalui platform Lazada kerana opsyen pengeposan lebih murah berbanding website mereka. Model ini merupakan B-series generasi ketiga, discontinued dan kini digantikan dengan generasi keempat B1X Four. Sempat menggunakan generasi pertama B1X dan B2 sedekad lepas.
Untuk bass patches, aku hanya perlukan compressor, overdrive, amp modelling dan sedikit reverb. Slot selebihnya akan "diformat" dan gantikan dengan efek-efek gitar yang diimport daripada model G1Xon, MS-50G/70CDR menggunakan perisian Zoom Effetcs Manager 1.1.1 aka "hacked".
Dengan kata lain, selepas di"hacked" pedal ini boleh digunakan untuk kedua-dua bass dan gitar.
Selain bateri AAx4 (disertakan), unit ini juga boleh dikuasakan dengan adapter 9V (aku ada AD-16E) atau USB.
Pengalaman aku menggunakan multi-effects Zoom sebelum ini - B1X, B2, G1X, G1M, G1N, G1u, G2Nu, G2.1Nu, G7.1ut, BFX-708, MS-50G, MS-60B, MS-70CDR - kesemuanya antara multi-effects yang paling mudah untuk difahami dan diedit, selain harganya yang lebih ekonomi berbanding jenama saingan.
Ia akan digunakan untuk sessi-sessi jamming dalaman yang biasanya terus ke mixer/PA system dan tidak mementingkan kualiti bunyi, asalkan tidak hilang dalam campuran (lost in the mix) sudah memadai. Jamming jenis grab-and-go, bawa gitar (atau bass), B1Xon ini dan monitor IRT-X.
Tak tersengaja melayari web CK Music beberapa bulan lepas, terjumpa pula saki-baki barangan Line 6 yang dijual pada harga penghabisan stok (CK Music bukan lagi pengedar rasmi barangan Line 6 sejak 2015). Satu daripadanya ialah Pod HD Desktop "Black Bean" ini yang dijual pada harga diskaun 70%. Ini antara gajet yang pernah terGAS suatu ketika dahulu.
Pembelian sampingan ialah dua unit tali gitar jenama GHS, Boomers GB9 1/2 (9.5-44) dan Burnished Nickel Rockers BNR-L (10-46). Kebetulan juga ketika itu CK Music ada promosi GHS 20%.
Diterima dalam keadaan yang memuaskan, cuma kotak asal sahaja agak kemek akibat transit. Kandungan di dalam lebih ringkas berbanding Pod X3, cuma ada manual ringkas dan adapter. Tiada apa-apa CD atau manual tebal disertakan, semuanya disuruh muat-turun dari website Line 6, juga tidak disertakan dengan kabel USB (duh~).
Unit ini berstatus new old stock dan bukannya display unit, katanya masih ada 1-2 unit lagi dalam stok mereka. Cuma, tiada lagi waranti kerana perenggan pertama di atas. Diperolehi berbekalkan dana-dana hasil jualan Micro Terror dan SC58, aku cuba mendapatkannya awal bulan Mac tetapi tertangguh kerana PKP.
Second input, XLR version.
Ini merupakan model terakhir siri Pod bentuk kacang (discontinued), pod yang masih wujud kini hanyalah Pod HD500X dan Pod HD Pro X. Aku pernah memiliki versi "Red Bean" Pod X3 pertengahan tahun 2011 (jual, beli balik, jual lagi). Ketika itu belum berapa "mahir" dan terasa agak leceh digunakan ketika jamming. Tetapi sejak memiliki Pod HD300 aku mula faham bagaimana mengendali siri-siri Pod Line 6. Sayangnya Pod HD300 tadi pula dah kaput dan kemudiannya dijual sebagai alat ganti.
Fungsi-fungsi utamanya iaitu amp modeling lebih kurang sama seperti yang ada pada Pod HD300, tetapi lebih banyak opsyen contohnya dual-tone dan dual-rig sama seperti Pod X3. Setelah dicuba secara spontan, ia terus dikemaskini dengan flash memory terkini v2.62 untuk mendapatkan tujuh lagi model amp tambahan.
Seperti Pod X3, ia lebih digunakan sebagai mainan di rumah (*lebih-lebih lagi musim PKP ini) berbanding dibawa jamming, gig atau persembahan pentas. Akan dipadankan dengan Laney IRT-X atau menggunakan headphone HD-330 untuk mod senyap. Selain hanya memainkan patches yang tersedia ada (kes malas buat patch sendiri), juga akan cuba download patches yang ada pada website custom tone Line 6.
*Tapi serius ketika musim PKP ini serius kehangatannya telah dipotong oleh PS4...
_____
AADI: Beg Line 6 FG5 sudah boleh digunakan semula :)
Satu-satunya pancingan jualan akhir tahun (YES) 2018 daripada CK Music. Tiada perolehan tahap "big guns" seperti tahun lepas, hanya Vox amPlug Night Train dan Vox AC Clip Tune (tuner lagi?) untuk kali ini.
AC Clip Tune - merupakan tuner kromatik jenis klip yang termurah dalam katalog CK Music. Ia dibeli untuk menggantikan tuner PitchHawk-G yang mula menunjukkan tanda-tanda bermasalah.
Walaupun berjenama Vox, aku pasti ia menggunakan teknologi tuner Korg (Vox dan Korg adik-beradik), dan antara-mukanya tak jauh beza dengan PitchHawk-G. Tuner begini lebih versatile kerana memiliki fungsi FLAT/CAPO yang tiada pada Sledgehammer Pro.
amPlug Night Train (discontinued) - bila sudah diterima baru perasan ia merupakan amPlug generasi pertama dan bukannya generasi kedua (amPlug2), patutpun murah. Dibeli untuk menggantikan amPlug2 Classic Rock yang sudah rosak.
Sebagai amPlug generasi pertama, tiada built-in effects (chorus/delay/reverb) seperti yang ada pada amPlug2. Hanya ada ON (BRIGHT channel) dan FX (THICK channel) selain tiga tombol standard (GAIN/TONE/VOLUME).
Seperti amp Night Train, BRIGHT adalah clean channel yang juga sesuai menjadi platform pedal. THICK pula walaupun tidak seganas dirty channel yang ada pada amPlug2 Classic Rock atau Metal, tapi cukup high gain untuk memainkan riff-riff rock/metal tanpa bantuan overdrive.
Mengambil kesempatan diskaun *30% bersempena ulangtahun ke-30 CK Music pada 23-24/03/2018 lepas untuk mendapatkan semula pedal Zoom MS-70CDR ini.
Pernah memilikinya beberapa tahun lepas, tetapi telah dijual bersama beberapa pedal lain untuk dana-dana GLTL Korina, alasan standard - jarang digunakan. Kemudian rasa menyesal kerana tahun-tahun berikutnya bila pedal ini ingin diperolehi semula, harganya pula melonjak naik daripada RM3xx kepada RM5xx! Sudah tidak berbaloi.
Unit ini telahpun memiliki firmware versi 2.0, tambahan 51 efek berbanding versi 1.0 menjadikan kesemuanya 137. Bakal digunakan pada effects loop Blackstar HT-5RH atau diasimilasikan dengan Laney IRT-Pulse bersama-sama MS-50G.
_____
AADI: *Berbanding hanya 20% semasa YES 2017.
Pancingan pertama jualan akhir tahun (YES) CK Music untuk tahun ini ialah sebuah gitar akustik-elektrik Ovation Celebrity Series CC24S. Sudahpun terGAS dengan jenama Ovation sejak tahun lepas, maka tahun ini ia ditunaikan sebagai ganjaran diri (self-reward) bersempena durian runtuh yang telah dijangkakan.
CC24S-HB - spruce solid top, honey burst.
Ini merupakan percubaan keempat aku untuk memiliki gitar akustik, tiga buah sebelum ini (Nandung, Ashdozen dan Taka) tidak bertahan lama dalam axology. Mrs. Ijau juga mencabar aku, nak tengok berapa lama gitar akustik ini boleh bertahan, kah kah kah...
Ovation yang termurah dalam katalog CK Music dengan diskaun 45% sempena YES, berbanding model-model lain yang berdiskaun 25%. Mungkin juga disebabkan penghabisan stok kerana model CC24S ini sudah discontinued digantikan dengan model CS24 (spesifikasi pun sama) dan hanya tinggal warna honey burst (tiada pilihan).
Apa yang menarik mengenai Ovation secara amnya berbanding gitar akustik jenama lain ialah bentuknya, selari dengan slogan Ovation "it's the shape". Belakang badan gitar ini berbentuk bowl (mangkuk?) daripada bahan komposit dinamakan Lyrachord. Bentuk ini juga agak ergonomik dan mesra boroi berbanding bentuk tradisional yang rata.
Kedua, neck profile, bindings dan fretboard radius seakan Les Paul, 21-fret, ditambah pula dengan skala 25.25" merupakan perantaraan skala Les Paul 24.75" dan Stratocaster 25.50". Sesuai untuk mereka yang sudah biasa main gitar elektrik.
Ketiga, tali gitar masuk melalui belakang bridge (ala Kapok) dan tidak menggunakan end pin seperti gitar akustik jenama lain. Kaedah ini sedikit sebanyak mengurangkan masalah semasa penenukaran tali dan tiada lagi insiden pin tercabut semasa menala gitar. Di bawah bridge ini juga terletaknya pikap piezo Ovation Slimline.
Preamp ringkas Ovation OP-4BT yang juga memiliki tuner dalaman jenis kromatik untuk talaan ekspress. Untuk talaan jitu lebih sesuai guna tuner klip Korg (PitchHawk atau Sledgehammer Pro).
Bernombor siri (bawah truss rod) C12070355, aku interpret sebagai unit ke-355 keluaran bulan Julai 2012. C mungkin merujuk kepada China, kerana siri Celebrity adalah buatan China.
Headstock ikonik Ovation.
Tiada cacat-cela dikesan pada pertukangan kayunya. Hanya sekadar fretboard rosewood yang nampak kusam mungkin kerana disimpan/digantung terlalu lama. Akan dirawat dengan minyak lemon semasa proses penukaran tali baru kelak.
Ovation machine heads.
Dari segi bunyi, entahlah, pada telinga aku yang amatur ini sama sahaja seperti bunyi gitar akustik lain. Tapi bila bunyi melalui amplifikasi, menggunakan channel MIC pada Micro Cube GX, ditambah sedikit efek chorus dan reverb, nah di sinilah magisnya pikap dan preamp Ovation. Akan dipandu-uji seoptimumnya semasa sessi jamming akan datang menggunakan PA system studio.
Gigbag disertakan dengan setiap pembelian gitar-gitar Ovation (atau hardcase untuk model-model premium), walaupun gigbag hanyalah jenis asas (thin padding), tapi sekurang-kurangnya tak perlu bersusah payah mencari gigbag lagi.
Sebungkus tali Martin merupakan hadiah percuma sempena YES (berdasarkan katalog), dan sebungkus lagi merupakan gantian untuk tali yang agak berkarat pada gitar. Berurusan melalui Mr. Hong, web admin yang sama seperti pembelian tahun lepas, jadi senaskah katalog fizikal YES CK Music disertakan untuk koleksi rujukan (as requested) bersama tiga keping pick CK Music sebagai pemberian mutual.
Video hiasan, kalaulah aku pandai main begini...
Ritual biasa bila ada gitar baru ialah menamakannya, akan digelar CELEB bersempena nama sirinya. Ia ditala pada talaan Eb-standard (kadang-kadang D), itupun masih terasa keras kerana jari-jariku sudah biasa dengan tegangan tali gitar elektrik. Opsyen lain, gunakan capo.
Antara buah tangan pi Miri hari Sabtu lepas 3/4/2010. Beli kat Speedy Video, Bintang Plaza dengan harga standard RM12.90... Tapi malangnya p...
Dari PC/Laptop Blogger... (Disclaimer)
Ini merupakan blog peribadi, tempat aku berkongsi maklumat, meluahkan perasaan mengikut kata hati sendiri, cerita dan berita dengan rakan-rakan bloggers (others are welcomed too)...
Kebanyakkannya merapu mengenai hobi-hobi aku - guitar/bass related stuff, jamming, gig/concert, collections, metal/rock music, CD/DVD, PC/PS4 games, anime, boxing dan sedikit pasal kehidupan dan kerjaya aku di Bandar Bangau (Bintulu) ni... Dengan menggunakan bahasa rojak dan tatabahasa yang kadang-kadang tidak menepati spesifikasi Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Penulis tidak akan bertanggungjawab atas segala kerosakan, kehilangan, kerugian dan kesedihan akibat pembacaan blog ini. Jadi, ada apa dengan Ijau?