Setelah berpuas hati dengan prestasi kombo progressive metal Seymour Duncan (Sentient/Pegasus) yang dipasang pada gitar utamanya RG331M (Agent Orange), Nuing mengambil keputusan juga memilih lagi set Seymour Duncan untuk dipasang pada gitarnya yang satu lagi RG370AHMZ.
Pernah dibawa jamming dalam entri ini tapi belum pernah lagi dibawa gig atas alasan belum berani yakin menggunakan gitar dengan sistem floating bridge. Lagipun gitar ini ditala E-standard tatkala muzik MUP menggunakan Eb-standard.
Dihantar dalam keadaan sedikit kotor, bersawang dan berhabuk, paling ketara bahagian fretboard maple yang beresidu jari. Pada mereka yang selalu ikuti AADI pastinya tahu aku memang pantang tengok gitar kotor begini, pasti akan dicuci, hahaha...
Pertama kali mencuba dan menservis sistem floating bridge Ibanez Edge-Zero II with Zero Point System (ZPS3Fe). Mekanikalnya tak jauh beza dengan Ibanez Edge III yang pernah ada pada ex-Replacement (RG350M) sedekad lalu, tapi dengan ZPS di belakang sistem ini terasa lebih moden dan canggih. Sayangnya perkakas The Key aku tidak dapat digunakan untuk mengintonasi bridge ini.
Berbanding gitar jenama lain yang memiliki Floyd Rose Special (atau by Floyd Rose) pada julat harga yang sama, Ibanez dengan sistem Edge-Zero II + ZPS lebih berbaloi. Aku sehingga kini masih terGAS model RG350DXZ tapi masih belum berani menarik picu...
Menggunakan suis 5-arah Ibanez 3SWLSP5 yang memiliki terminal pada PCB yang senang untuk dipateri berbanding suis 5-arah standard. Setiap terminalnya juga memiliki label-label yang boleh mengurangkan kesilapan.
Standard kualiti gitar-gitar Ibanez buatan Indonesia, kaviti pikap pun kemas dicat dengan cat konduktif dan dibumikan terus (ground/earth).
Seymour Duncan yang dipilih kali ini ialah set Black Winter diperolehi daripada Music Bliss. Cuma, pikap bridge set ini hanya didatangkan dalam saiz humbucker (SH) dan bukannya trembucker (TB) yang lebih sesuai untuk gitar bertremolo.
JB kontot aku sebagai rujukan saiz trembucker dengan spacing kekutub lebih lebar (~52 mm) berbanding saiz humbucker (~50 mm) membuatkannya tidak sejajar dengan tali gitar pada kedudukan pikap bridge. Tapi tak mengapa, setakat ini tiada kecacatan sonik dikesan hanya penampilan sahaja yang agak kekok.
Dengan suis 5-arah 3SWLSP5 tadi, proses memateri tak sampai pun 10 minit. Lebih banyak masa diluangkan mengemas wayar-wayar di dalam kaviti.
Apa yang aku perasan, Black Winter ini karekternya lebih sizzle berbanding DiMarzio Tone Zone (sebagai rujukan) pada overdrive channel Blackstar HT-5RH aku. Selebihnya, seperti biasa temberang saja kalau bab tona, hahaha...
_____
AADI: Selamat menyambut bulan Ramadhan 1443H.
0 comments
Post a Comment