Ini pembelian impulsif (bahaya ni) daripada Swee Lee bila mana gitar ini ditawarkan dengan diskaun ~78% aku terus memancingnya tak sampai pun seminggu selepas memancing gitar Praetor (JS32 King V).
Jackson Pro Series Dinky DK2 dengan kemasan transparent black ini telah lama dilabel sebagai B-stock dalam katalog Swee Lee dengan harga yang kurang menarik. Tapi dengan diskaun "mengejut" tadi menjadikan harganya jauh lebih murah berbanding sebuah JS32 Series. Dengan harga tadi juga, aku bersedia menerima jika ia merupakan unit terpakai dengan badan yang calar-balar.
Inilah gitar yang berada di dalam hardcase Jackson dalam entri WW beberapa minggu lepas. Sebagai sebuah Pro Series ia memang datang sekali dengan hardcase premium begini (SKB?). Penghantaran percuma menggunakan DHL dari stor Swee Lee Singapura dan mengambil masa 3-4 hari untuk sampai di Bintulu.
Agak terkejut bila hardcase dibuka, unit yang diterima ini nampak masih baharu tanpa sebarang kesan ketara pernah dimainkan jika ia unit terpakai. Dalam hardcase cuma ada tag Jackson, beberapa hex key dan silica gel, tiada apa-apa dokumen lain disertakan. Aku tak pasti apa yang menyebabkannya dilabel sebagai B-stock, adakah ia stok lama (new old stock)?
Semasa pemeriksaan awal tiada apa-apa kecacatan fizikal dikesan. Yang ada hanyalah neck bergoyang kerana bolt-on tak ketat (easy fix) dan spring tremolo terlepas daripada cangkuknya (easy fix). Bila dijenguk, set spring agak teroksida tapi masih tegap dan kenyal, tak perlu tukar.
Selepas pemeriksaan teliti, didapati satu saddle (tali D) pada bridge Jackson Licensed Floyd Rose longgar tidak diketatkan (easy fix) dan agak berbeza sedikit warnanya berbanding saddle lain. Mungkin saddle asal sudah rosak dan diganti baharu. Juga ada saddle insert yang dipasang terbalik (easy fix). Teori aku, ini unit yang dipulangkan semula untuk tuntutan waranti disebabkan masalah-masalah di atas tadi dan tersadai dalam stok Swee Lee bertahun-tahun.
Fizikal selebihnya masih tip-top, tiada cat pecah, retak, kemek atau calar pada headstock dan badan, setakat calar hairline tu adalah sikit, kondisi boleh aku katakan 9/10 (jackpot!). Tali gitar yang ada pun masih bagus (mungkin 9-42) tak perlu ditukar buat masa ini.
Nombor siri 9853208 selepas diinterpret ia merupakan produk ke-53208 tahun 1998 atau 2010 (pastinya 2010, rujukan) kilang Chushin Gakki, Jepun. Ya, sebuah Jackson MIJ antara batch terakhir sebelum Pro Series dipindahkan ke Mexico selepas bernaung di bawah Fender.
Hype "gitar buatan Jepun" itu benar, kehalusan seni pertukangan gitar ini memang jauh berbeza berbanding JS32 Series dan X Series yang sedang/pernah dimiliki. Jackson Jepun terkini MJ Series harga gila mahal nak mampus!
Elektronik berfungsi 100% dengan isi perut mengingatkan aku pada Dinky DK2FS Bro Adam yang pernah diservis hampir 10 tahun lepas. Pendawaian dan pematerian yang tegap cuma wayar-wayar tidak dikemaskan.
Pikap berkonfigurasi HSS daripada Seymour Duncan - JB Model TB-4 pada bridge dan STK-1 pada kedua-dua neck dan mid. Aku tak berapa minat HSS, kerana picking area aku betul-betul di atas pikap tengah, selalu sangkut atau bergeser dengan pikap. Penyelesaiannya, pikap tengah akan direndahkan serendah-rendahnya kelak.
Sejak mula terjerumus dalam hobi kegitaran, memang teringin untuk mendapatkan sebuah Dinky atau Soloist, terutama model DK2M yang merupakan antara superstrat "final fantasy" aku. Tapi tak dapat DK2M, dapat DK2 pun jadilah, bukan selalu dapat Jackson Jepun pada harga begini. Axology aku secara rasminya menjadi 12, lagi bahaya!
Cuma terasa agak janggal memainkan superstrat bila sudah lama serasi dengan singlecut. Nickname? akan digelar DINKY sahaja buat masa ini. Ditala dan diintonasi pada talaan E-standard, petang nanti akan dibawa jamming untuk sessi pandu-uji.
_____
AADI: Otomatik terpadam GAS untuk model DK2XR dan/atau DK3XR.
2 komen:
Lawa...tahniah! untuk yg ke 13 pula...haha...
perghhhh. dinky japan. cunnn. aku punya wishlist Jacskson Star Soloist neckthru belum dapat lagi.
Post a Comment