Antara gajet-gajet ICT aku yang dihantar ke pusat pengumpulan buangan elektrikal dan elektronik (e-waste) seperti yang disebut dalam entri semalam. Semuanya sudah rosak ataupun ketinggalan zaman (outdated) dan tidak relevan digunakan lagi.
Antaranya gaming PC (circa 2004-2007) bernadi Pentium 4 1.8GHz yang dibina sejak aku kerja di Penang, dibawa balik ke Membakut dan kemudiannya diangkut ke Bintulu ketika mana aku mula bekerja di sini. Penghujung 2007 telah digantikan dengan gaming PC baharu bernadi AMD Athlon X2.
Begitu juga dengan netbook Lenovo S10-2 (circa 2009-2017) yang selalu muncul dalam entri-entri AADI awal 2010-an dulu. Telah kaput beberapa tahun lepas, hanya HDD sahaja yang diselamatkan kerana memiliki banyak gambar zaman bujang dan anime sedut.
Sampai jam 12 tengah hari jak gaisss Gambaran sekitar dewan Serbaguna Kampung Baru, Bintulu. ♻️ KEMPEN KE-3...
Posted by Bintulu News Page on Saturday, 7 November 2020
Bab telefon bimbit pun banyak memori. Nokia 6600 (circa 2005-2010) dimiliki sejak zaman kerja di Penang. Zaman mula-mula ada telefon berkamera walaupun resolusi hanya 640x480 tapi sudah cukup untuk menangkap gambar-gambar epik nostalgik. Sony Ericsson K618i (2007-2015) menjadi modem 3G serta menangkap gambar-gambar untuk blog AADI tatkala belum ada kamera digital khusus. W200 (2008-2010) yang lebih digunakan untuk me"Walkman"kan mp3 dan W810i (2014-2017) pula ada dibuatkan entrinya di sini.
Bila masuk zaman telefon pintar, model-model yang aku miliki biasanya model bawahan kerana aku tahu teknologi telefon pintar amat pantas berubah. Bermula dengan Ninetology Stealth (2013), Asus Zenfone C (2015) dan Zenfone Go 4.5 (2017). Hanya Lenovo A369 (2014) sahaja yang "hilang" dimain anak-anak. Jenama/model yang tidak disebut merupakan telefon Mrs. Ijau.
Memang kena keraskan hati untuk melepaskan gajet-gajet sebegini walaupun rata-ratanya memiliki nilai nostalgik. Hasil yang diperolehi daripada "jualan" e-waste ini tak sampai pun RM50, tapi sebagai orang sains, ini antara tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar.
_____
AADI: Cuba untuk tidak menjadi seorang hoarder.
0 comments
Post a Comment