Gambar terakhir sebelum dihantar ke pusat pengumpulan barangan e-waste Sabtu minggu lepas. Tiga skrin yang memiliki tiga memori berbeza.
1) Monitor (aku lupa jenama) 16" - Monitor PC pertama aku ketika fasa menganggur di kampung Januari-April 2006. Gaming PC aku ketika di Penang aku bawa balik, tapi monitornya terpaksa dijual kerana tidak ekonomi untuk dibawa balik. Monitor inilah menjadi pengganti supaya aku dapat gaming beberapa bulan di kampung sebelum dapat tawaran bekerja di Bintulu.
Sebelum musim PKP aku bawa ke Bintulu kononnya untuk digunakan di sini, tapi akhirnya terbiar jua dalam stor kerana sudah tidak relevan menggunakan monitor CRT.
2) TV Ichiban 19" CRT - TV yang dibeli menggunakan gaji pertama aku bekerja di Bintulu, bersama-sama langganan pertama Astro Jun 2006. Waktu itu dengan bil bulanan hanya RM50 dapat layan tiga pakej - variety, learning, sports- selain pakej asas. Inilah TV fasa bujang, beberapa kali diusung kerana berpindah-pindah rumah sewa. Kenangan layan WWE, TNA, Akademi Fantasia, Maharaja Lawak, Piala Dunia dan Animax bersama rakan-rakan serumah sewa.
Masih berfungsi, tapi selepas perolehan item perenggan di bawah, ia menjadi penghuni tetap dalam stor.
3) Sharp Aquos 32" LCD - Pernah dibuatkan entri dalam AADI pada tahun 2012, penangan ketika mula-mula bertukar kepada Astro B.Yond dan tak puas hati dengan paparan TV Ichiban tadi. Inilah TV yang mengingatkan aku pada fasa bergelar ayah, kerana layan Astro Ceria, Disney XD dan Moonbug Kids bersama anak-anak.
Bertahan 11 tahun (sebaya anak dara aku si Lil'Ijau) sebelum paparannya kembang dan warna pudar pada tempat kembang tadi. Ditamatkan perkhidmatannya awal tahun ini dan digantikan dengan jenama dan model sama tapi berteknologi LED dan saiz yang lebih besar.
_____
AADI: 80-90an dulu TV 14" layan sekeluarga.
1 comment
awal 80an...dapat tv colour pun dah kira macam org ada-ada...
Post a Comment