Sukan tinju, passion aku untuk 2023. Dalam footnote entri terakir 2022, aku ada tulis "Teringin kembali berseni bela diri, atau cuba tinju (boxing) atau MMA". Dan mulai Januari 2023 aku memberanikan diri untuk menyertai sukan tinju dan melangkah masuk menyertai PS Boxing Club Bintulu.
"Untuk 2023, aku mengambil keputusan untuk memilih sukan tinju berbanding sukan kombat atau seni bela diri lain. Juga untuk menyahut cabaran Mr. Ijau untuk mencari hobi yang sihat. Niat aku lebih kepada untuk fitness kerana sistem latihannya yang intensif tapi masih menyeronokkan."
- Entri Januari 2023.
1) Teknik - Dengan latar belakang Silat Cekak dan Kung-Fu (Nanquan Wushu) zaman USM dulu, aku tak ada masalah dengan teknik, hanya stamina dan keseimbangan badan menjadi kekangan akibat obesiti dan masalah lutut kiri.
Jurulatih memang sporting, ketika permulaan beban latihan aku hanya separuh atau suku berbanding ahli lain. Tapi untuk bulan-bulan seterusnya bila sudah konsisten, tiada lagi diskaun beban latihan.
2) Berat badan - Empat bulan pertama berjaya menurunkan berat badan sekitar 5-6 kg tanpa sebarang *kawalan pemakanan. Bulan-bulan berikutnya sehingga hujung tahun, berat badan aku agak statik, tapi ada inch-loss, kerana semua seluar aku dah mula longgar. Kata jurulatih, ia disebabkan lemak yang hilang telah diganti oleh jisim otot yang membesar.
3) Kesihatan - Dan selepas itu penurunan berat badan bukan lagi sasaran, tapi untuk lebih sihat. Laporan pemeriksaan kesihatan tahun ini jauh berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Lebih banyak nombor-nombor normal berbanding borderline. Tahap stamina juga rasanya sudah hampir sama seperti ketika rajin berfutsal umur penghujung 20an dulu.
4) Uncle - Setakat ini, akulah ahli yang paling tua veteran, maka gelaran "uncle" melekat. Juga biasanya menjadi motivasi pada ahli-ahli muda/baharu dengan ayat pembakar semangat yang sering dilaungkan oleh coach "uncle umur 40an pun boleh buat".
5) Equipment - Seperti hobi lain, tidak terlepas daripada pembelian peralatan berkaitan. Setakat ini sudahpun memiliki tiga sarung tangan (gloves) tinju - Everlast basic, Outshock BG120 Training dan BG500 Ergo v2.0. Juga ada beberapa set pembalut tangan (wrap) dan pelindung mulut (mouth guard). Serius, guna BG500 ketika sparring memang jauh beza berbanding gloves basic/beginner.
6) Ikon - Pertama ialah jurulatih aku Louis Ting Chek Tee, atlet Sarawak ketika SUKMA 2016 pingat perak tinju kategori light heavyweight, juga presiden Bintulu Boxing Association. Selain tinju, beliau juga berlatih Muay Thai, Brazilian Jiu-Jitsu dan atlet Deka Bintulu.
Sempat berguru dengan "Kilat Boy" Daeloniel McDelon yang kini juara tinju bantamweight Asia, semasa Bengkel Asas Tinju kelolaan Bintulu Boxing Association pada 23-26/06/2023. Kaedah latihan Kilat Boy lebih fokus kepada kepantasan dan ketangkasan berbanding ketahanan dan stamina di bawah latihan coach Ting.
Juga dapat berjumpa dengan Jojo (Johan Ghazali) ketika Kejohanan Muay Thai Piala Premier Sarawak yang berlangsung di Bintulu pada 24-29/10/2023.
7) Kepelbagaian kaum - ahli PS Boxing terdiri daripada bangsa Melayu, Cina, Iban, Melanau, Bidayuh, Bisaya, Lun Bawang dan menyelitlah seorang Brunei Membakut (akulah tu). Dari pelbagai latar belakang kehidupan; penjawat awam, swasta, pekerja offshore, budak sekolah dan sekali-sekala ada disertai oleh warga asing yang bekerja di Bintulu. Setakat ini pernah disertai oleh warga Korea dan Mexico. Semua dilayan sama rata, beban dibezakan mengikut tahap beginner, ahli biasa dan geng fighter.
8) Gym baharu - PS Boxing berpindah pusat operasinya dari Vortex Gym (Bintulu Sentral) ke Sapphire Fitness Gym 69 & Combat Sports Gym (E-Mart) pada bulan Oktober. Kelengkapan gym kombat lengkap berjenama "Bintulu Fight Team" termasuk gelanggang bersaiz standard tiba pada bulan November. Barulah terasa seperti sebuah gym yang profesional, membuatkan lebih bersemangat untuk bersukan tinju (dan Muay Thai).
Hanya satu penyesalan, menyesal kerana tidak terfikir untuk menyertai sukan tinju ketika umur 30an, tatkala fizikal (dan lutut) masih prima. 10 Januari nanti genap setahun aku menyertai, mungkin boleh dibuatkan lagi entri khas.
______
AADI: *Tahun hadapan boleh cuba untuk kawal pemakanan pula.
2 komen:
Tahniah kerana masih bertahan.
Aku dulunya masa awal tahun kononnya nak ber brisk walking setiap minggu pun hanya mampu bertahan selama 2 bulan...hampeh!
Bert, kena cari sukan atau aktiviti sihat yang menyeronokkan... dan kena ada motivasi dan pembakar semangat
Post a Comment