Hari pertama, Sabtu 19/02/2022 - Tergerak hati untuk membuat ujian kendiri pada sebelah pagi selepas hidung dan tekak aku terasa pedih-pedih seperti rasa permulaan selesema, suatu perasaan yang sudah lebih dua tahun tidak dialami. Dan keputusannya jalur berkembar...
Aku tak pasti di mana aku mendapatnya, sejak Khamis minggu lepas aku tidak pergi ke mana-mana kecuali tempat kerja dan pasar raya F pada petang Jumaat selepas balik kerja. Jika aku mendapatnya di pasar raya F, mujurlah hanya aku sahaja yang kena dan tidak pada Mrs. Ijau dan si kecik Arlo yang pergi bersama-sama aku ketika itu.
Hari kedua, Ahad 20/02/2022 - Pagi "check-in" di CAC Poliklinik Bintulu dan mendapat arahan kuarantin di rumah selama seminggu. Dan sekali lagi mujurlah kuarantin di rumah sahaja dan tidak di pusat kuarantin atau hotel seperti ketika Mrs. Ijau menjadi kontak rapat tahun lepas.
Di rumah, bilik hobi aku (aka mancave) menjadi bilik kuarantin. Di sinilah habitatku berkurung untuk seminggu ini bertemankan gitar, internet dan PC games, hanya keluar untuk ke bilik air sahaja. Sebagai orang sains, segala usaha dilakukan untuk mengekang penularan.
Simptom yang aku hadapi setakat ini sama seperti demam selesema biasa, sedikit berhingus dan batuk ringan, tiada masalah pernafasan (vaksin itu benar). Deria rasa pula ada sedikit celaru, minum air kosong terasa sedikit masam, bila berus gigi rasa macam minyak, selera makan on-off. Dan bila demam melanda biasanya sebelah malam, habis sakit segala sendi dan kepala dihentamnya.
Bersambung...
_____
AADI: Patuhilah segala SOP dan bervaksinlah, ini ikhtiar kita insya-Allah.
3 komen:
Semoga cepat sembuh
syafakallah semoga cepat sembuh amin2
Sentiasa mendoakan kesihatan...
Post a Comment