Memperolehi gitar Harley Benton Pro Series Fusion-III HH EB OCT terpakai ini melalui marketplace Facebook, seller nun dari Belaga yang jauhnya ~180 km dari bandar Bintulu. *Dihantar sendiri oleh seller beberapa hari lepas untuk proses transaksi.
Kata seller ia dibeli terus dari website Thomann kerana jenama Harley Benton ini eksklusif untuk Thomann dan belum ada lagi pengedar rasmi di Malaysia. Dilepaskan atas alasan standard "jarang dimainkan". Dengan kemasan metalik yang bernama gloss ocean turquoise, seakan-akan hijau Petronas.
Pemerhatian awal aku dapati gitar ini masih nampak baharu, fretboard masih mulus seperti belum pernah dimainkan, hardware krom masih berkilat, tiada calar dikesan pada badan, setup pun spot-on terus boleh main, jackpot! Harga unit baharu di website Thomann ialah USD298/EUR251.26 (~RM1170) dengan anggaran postage EUR60 (~RM280) ke Malaysia. Belum lagi masuk cukai 10% kan?
Buatan Indonesia berkemungkinan keluaran kilang Roxy Music. Daripada nombor siri (21)75753EEL00205 aku interpret sebagai keluaran 2021 dan unit ke-205. Kualiti pertukangannya sehebat gitar-gitar buatan kilang Cort, Samick dan World Musical Instruments Indonesia.
Spesifikasi penuh boleh rujuk website Harley Benton, tapi bagi aku spesifikasi paling menang - ebony fretboard, Graph Tech TUSQ nut, JN-07-CR staggered locking tuners, Blacksmith stainless steel frets, Wilkinson 50IIK tremolo dan pikap Roswell LAF. Kalau jenama terkenal (Cort, Ibanez, Jackson, LTD) dengan spesifikasi yang sama, pasti harganya mencecah atau melebihi RM3k.
Agak berat dan nampak berat untuk sebuah superstrat, badan daripada kayu nyatoh dengan neck maple yang chunky seakan-akan neck Les Paul, tapi bila ditimbang beratnya sekitar 3.6 kg sahaja.
Aku agak skeptikal dengan bridge jenis 2-point tremolo ala strat yang kebiasaannya akan ada skru pelaras action terpacak keluar. Tangan aku hanya "biasa" dengan dua jenis bridge gitar iaitu jenis locking (ala Floyd Rose) dan jenis fixed Tune-O-Matic. Tapi tremolo Wilkinson 50IIK ini semua skrunya jenis flushed dan tiada terpacak keluar selain senang dilaras untuk intonasi.
Ini lagi satu spesifikasi yang hanya ada pada gitar-gitar premium - truss rod wheel. Tidak perlu menggunakan pelaras truss rod pada bahagian headstock seperti gitar-gitar konvensional lain. Pikap-pikap Roswell LAF neck/bridge/mix 8.3/8.6/4.3 kΩ (split 4.3/4.4/2.3 kΩ) ini responsnya standard medium output PAF. Ditambah dengan neck tebal tadi, memang terasa memainkan sebuah Les Paul.
Isi perut yang kemas dari segi pematerian dan diikat dengan cable tie, kaviti juga bercat konduktif. Potentiometer tone adalah jenis push-pull untuk opsyen coil split pada pikap-pikap Roswell tadi.
Juga didatangkan dengan tremolo arm, kabel, beberapa Allen key, strap dan gigbag Harley Benton. Tapi gigbagnya nipis ala kadar saja. Okla daripada tak ada langsung kan? Gitar dengan kualiti sebegini layak dipadankan dengan gigbag setaraf Gator 4G-series.
*Sebenarnya ini bukan gitar aku, ia dibeli oleh Bro Jawank yang berurusan terus dengan seller. Aku hanya sebagai keldai pengantara dan custodian gitar ini sehingga ia dituntut oleh Jawank yang katanya akan datang ke Bintulu bulan depan.
Serius, dah lama tak jumpa Jawank sejak sebelum musim pandemik lagi. Selepas itu kalau dia turun Bintulu biasanya sekejap dan short notice, tak sempat jumpa. Mungkin boleh jadualkan sessi jamming bersama-sama kelak untuk memandu-uji gitar ini.
_____
AADI: Aku pula yang cemburu.














0 comments
Post a Comment