Percubaan kelima untuk memiliki gitar akustik (#1, #2, #3, #4), kali ini memilih Cort Standard AD Mini yang bersaiz 3/4 daripada saiz dreadnought. Jenama/model mini lain yang tewas - Kepma ES36, Enya EM-X0 dan Ibanez V44MINI.
"The downsized body makes the guitar very portable for travel while delivering a big sound that belies its size. Ideal for female players and children alike with body depths of 82*101 mm." - Website Cort.
Diperolehi daripada Music Bliss dengan diskaun tambahan 20% dan penghantaran percuma menggunakan East Link Freight yang mengambil masa seminggu untuk sampai ke Bintulu. Perolehannya telahpun dirancang sejak awal tahun lagi, tapi tertangguh beberapa bulan atas faktor isu semasa di Asia Barat dan Selat Hormuz.
Didatangkan dengan gigbag Cort yang ala kadar, tapi lebih baik daripada tiada langsung kan? Mungkin boleh muat dalam gigbag Superbag.
Sebagai gitar akustik seadanya, tiada elektronik ataupun pikap piezo dipasang pada unit ini. Pernah juga terfikir alang-alang untuk mendapatkan jenama/model yang memiliki pikap dalaman, tapi ia akan jauh menyimpang daripada *matlamat asal dan bajet.
Sekiranya ada keperluan untuk amplifikasi, mungkin boleh gunakan Nu-X B-10 Vlog wireless microphone system - unit TX dikepit/diselit dalam sound hole, manakala unit RX diamplifikasikan ke Micro Cube GX atau IRT-X.
Cort, pastinya buatan Indonesia dengan nombor siri IA240964834 yang aku interpret buatan September 2024 unit ke-64834. Tak perlu risau tentang kualiti pertukangannya, tetap ampuh. Spesifikasi lain boleh rujuk website rasmi Cort.
Saiz mini ini agak selesa untuk mereka yang sudah biasa memainkan gitar elektrik. Berskala 22.8" pendek dua inci berbanding skala Les Paul (24.75"). Neck pun tebal seperti neck Les Paul, lebar nut 43 mm dan radius 500 mm (15.75") yang agak rata. Bunyinya tetap "penuh" dan resonans walaupun saiznya kecil, taklah terasa seperti bunyi ukulele.
Didatangkan sekali dengan hex-key, end-pin, saddle dan shim ekstra. Sudahpun di"setup" oleh Didik dan Basori pada 26/09/2024.
*Sebenarnya ini bukan gitar aku sepenuhnya, tetapi hadiah ulang tahun untuk anak dara aku si Lil'Ijau yang ingin belajar main gitar akustik. Sebab itu saiz mini dipilih, sesuai untuk girly atau kanak-kanak. Disebabkan itu, tiada nickname untuk gitar ini (setakat ini).
_____
AADI: Sekali-sekala aku yang main...










0 comments
Post a Comment