Walaupun berjaya memiliki Nu-X MG-30 tahun lepas, tapi atas sebab-sebab peribadi aku masih terGAS dengan multi-effects gedabak Boss ME-80. Harga runcitnya tiap tahun makin naik tapi ada peluang semasa promosi 12.12 Lazada daripada The Guitar Store untuk mendapatkannya pada harga jauh lebih murah berbanding harga runcit semasa.
Ya, teknologinya boleh dikira agak kuno berbanding multi-effects jenama lain pada harga yang sama (MG-30, Zoom G5n, Mooer GE250, Hotone Ampero One, Valeton GP-200), tapi ada sesuatu yang mistik tentang produk Boss ini.
Kenapa agak kuno? Pertama, teknologi modeling (PREAMP) COSM Boss hanya ada sembilan jenis, tidak ada ruang untuk model tambahan pada masa akan datang dan tiada teknologi impulse response (IR). Yang ada hanyalah cabinet simulation yang diaktifkan jika output headphone digunakan.
Kedua, hanya ada paparan LED dua digit sahaja seperti multi-effects awal 2010an, berbanding skrin LCD besar dan berwarna-warni pada multi-effects lain yang setaraf. Mungkinkah ini ME-series yang terakhir kerana wujudnya model GX-100?
Tapi apa yang membuatkan model ini istimewa ialah pertama, dengan adanya 30 tombol yang terasa analog, selain memiliki hampir kesemua karekter stompbox Boss yang terkenal termasuklah NS-2, juga memiliki karekter stompbox Boss terbaharu iaitu MO-2 dan TE-2. Kalau biasa guna multi-effects, tombol-tombol sebegini lebih cepat untuk melaras parameter preamp dan efek berbanding menekan butang menu.
Kedua, kedudukan expression pedal (PEDAL FX) juga agak jauh dengan suis kaki paling hujung, kebarangkalian terpijak expression pedal ketika memijak suis paling hujung amatlah jauh (vice-versa). Aku beberapa kali pernah mengalami situasi begini semasa menggunakan MG-30 dan B1Xon, amat gabra ketika persembahan pentas.
Ketiga, walaupun susunan lapan suis kaki nampak serabut, tetapi sebenarnya disusun supaya hanya empat suis bawah sahaja yang senang dipijak. Dan dengan rekabentuk suis berlawanan arah, membuatkan empat suis sebelah atas agak sukar untuk terpijak dalam kehangatan beraksi atas pentas.
Dan tiada fungsi yang memerlukan dua butang dipijak sekaligus seperti multi-effects kompak lain, dapat mengurangkan peluang untuk membuat kesilapan memijak bagi yang berkaki besar.
Disertakan dengan enam biji bateri alkali AA, manual 24 muka surat dalam tujuh bahasa dan adapter PSA compatible sama seperti yang ada dalam Boss GT-1. Aku tidak menggunakan adapter ini kerana sudah ada PSA-230 original yang lebih senyap.
Ya, ia juga boleh dikuasakan dengan bateri AA, katanya boleh bertahan sehingga 12 jam dengan bateri alkali. Aku tak kisah, kalau dapat bertahan dua jam pun sudah kira cukup untuk satu sessi persembahan pentas (yang biasanya leceh mencari punca elektrik untuk adapter).
Fungsi selebihnya seperti USB recording dan Boss Tone Central, tak perlulah aku cerita. Aku mendapatkan unit ini hanya fokus untuk kegunaan live (jamming, gig) kerana ciri-ciri yang aku ceritakan di atas tadi. Dan disebabkan jenama Boss itu sendiri, ketegapannya tidak perlu dikompromi.
Hampir terlupa, aku pernah ada ME-50B dan pernah mencuba ME-70.
_____
AADI: Selamat menyambut Hari Natal.
0 comments
Post a Comment