Hari ini katanya Metallica menyambut ulang tahun penubuhan mereka yang ke-40, tak jauh beza dengan umurku. Tergerak hati nak buat entri tribute pengalaman ke-Metallica-an aku.
Sumber. |
Tidak dinafikan Metallica antara pengaruh awal dan utama muzik metal dalam kehidupanku selain Manowar, Iron Maiden dan King Diamond. Album dan lagu-lagu mereka bermemori dan ada yang bertaraf soundtrack of my life, seperti kapsul masa bak kata Berteromber.
Daripada Metallica juga aku kenal dan mula dengar muzik band lain seperti Megadeth, Motorhead dan Mercyful Fate.
Aku kenal nama Metallica sekitar 1991-1992 ketika album Black mula menjadi siulan rakan-rakan sebaya, tapi ketika itu aku tak pandang sangat muzik metal. Hanya tertawan hati pada muzik metal selepas mendengar keseluruhan album Fighting The World (Manowar) tahun-tahun berikutnya.
Selepas muak dengan muzik alternative dan grunge sekitar 1996 aku mula mencuba dengar muzik Metallica bermula dengan album Load. Ya, ketika itu album Load masih panas lagi, lagu Until it Sleeps selalu keluar carta RIM di TV. Tahun yang sama juga aku layan album Black yang kasetnya dipinjam daripada Awg Raem (drummer Manggas) dan menjadi peneman aku sepanjang musim SPM.
Ketika zaman siswa USM pertengahan 1997 aku dikenalkan pula dengan lagu-lagu lama era Ride The Lightning dan Master Of Puppets daripada mentor ICT aku (Bro Amin) ketika kerja part-time sebelah malam di sebuah kedai komputer depan USM. Lagu dan lirik Fade To Black meninggalkan kesan dan merupakan anthem ketika itu.
Tak lama kemudian, album Reload pula rilis, video lagu The Memory Remains selalu keluar NTV7. Album ini aku tak berapa layan hanya menumpang dengar rakan sebilik yang membeli kasetnya, tapi lagu Fuel, The Memory Remains dan The Unforgiven II antara anthem ketika itu.
Penghujung 1998, bila agak muak dengan Virtual XI dan X Factor, pinjam pula kaset AJFA rakan sebilik dan layan dalam walkman peneman perjalan ke bilik kuliah. Aku mula perasan yang lagu-lagu dalam album ini ada "kecacatannya" berbanding versi live yang pernah aku dengar melalui album Live Shit: Binge & Purge (CD-JS). Aku rasa lagu-lagu AJFA dalam Live Shit lebih bermemori berbanding dalam album AJFA itu sendiri.
Pertengahan 1999, era layan album Garage Inc. pula. Era ini pasti mengingatkan aku pada musim jiwang dengan junior USM, menceburi mIRC dan hype ketika filem Star Wars Episode I: The Phantom Menace baru rilis.
Disambung pula dengan kegilaan konsert Cunning Stunts (versi VCD-JS ketika itu), pada pendapat aku inilah Metallica at their prime (dengan fesyen era Load). Ketika inilah aku berangan "kalaulah aku pandai main gitar, aku nak main macam Kirk Hammett", dan rasanya slogan "Metallica for life" amat sinonim dengan minda aku ketika ini.
Penghujung 1999 keluar pula konsert S&M (juga versi VCD-JS), heavy metal + orkestra, memang sesuatu yang di luar pemikiran ketika itu. Dalam album ni lagu No Leaf Clover paling bermemori.
Dilayan sehingga awal 2000, akan mengingatkan aku pada dan musim aku ambil lesen motosikal dan layan VCD filem-filem koboi Clint Eastwood, seterusnya dapat tahu lagu runut Ecstasy Of Gold adalah daripada filem The Good, The Bad And The Ugly yang selalu menjadi intro konsert Metallica.
Pertengahan 2000 barulah berpeluang layan balik album Master Of Puppets sepenuhnya, pinjam kaset Cimmat (abang Takilala) dan layan sepenuhnya semasa cuti semester di kampung. Ketika ini juga aku mula berjinak-jinak dengan muzik Megadeth.
Ketika album St. Anger dirilis sektiar 2003, selera muzik aku ketika itu lebih tertumpu kepada genre speed/power metal dan mula layan band seperti Blind Guardian, HammerFall dan Kamelot. Jadi, Metallica dengan "muzik baru" mereka terasa begitu asing.
Kaset yang dibeli hanya pernah dipasang beberapa kali kemudian disimpan terus. Ditambah pula dengan isu dalaman yang tak sudah (kes Jason, kes rehab Hetfield), aku rasa era inilah penghujung jalan Metallica...
Sehinggalah era Death Magnetic sekitar 2008 baru layan balik Metallica. Memang thrash hangguk-hangguklah layan album ni. Ketika era ini juga aku mula terjerumus dalam hobi kegitaran, dan mula sedar dengan kegitaran Hetfield dan Hammett dan mengikuti setiap perkembangan mereka. Antara satu sebab kenapa aku menggalas Les Paul dan Eclipse - James Hetfield.
Tahun 2013 menyaksikan satu daripada senarai baldi (bucket list?) tercapai selepas Iron Maiden Singapore 2011, bila Metallica mengumumkan Stadium Merdeka (ceritanya part 1, part 2, part 3) merupakan satu daripada lokasi konsert jelajah Asia Tenggara.
Walaupun bukan era kegemilangan mereka dan hanya mampu tiket murahan 100 meter di belakang, tapi aku bangga mengatakan "aku sudah pergi tengok konsert Metallica, anda bagaimana?". Dan jangan pula lupa ABC Band.
Dead Eye Guitars. |
Era Hardwired... To Self-Destruct sekitar 2016 juga berjaya membuatkan aku headbang dan hentak kaki secara spontan. Masih Metallica, masih thrash, masih heavy... Nak harap sepantas dan segarang era Master Of Puppets, terimalah hakikat mereka dah berumur. Album ni pun sudah kira cukup "Metallica" bagi standard umur mereka.
Pun begitu mereka masih rileks memainkan lagu-lagu rancak mereka, cukup fit dan aktif di atas pentas walaupun rata-rata mereka sudah berumur 60 tahun. Kami yang rata-rata berumur 35-45 pernah cover beberapa lagu Metallica semasa gig (dan livestream) pun tercungap-cungap dibuatnya.
Metallica begitu sinonim dengan metal, mereka membuatkan metal menjadi mainstream, ramai yang sebaya denganku mula minat metal kerana Metallica. Harapanku agar mereka dapat merilis sekurang-kurangnya satu lagi album sebelum mereka berpencen wajib. Kalau dapat singgah KL lagi, itu kira bonus...
_____
AADI: Selamat... Thank you!
1 comment
Birth School Metallica Death...semua yg minat muzik metal akan ada cerita Metallica dalam hidup mereka...
Post a Comment