Setahun lebih tidak menjejak kaki di REG Studio, kali terakhir ketika sessi MUP FB Livestream Disember 2021. Kini REG Studio berubah wajah sekali lagi menjadi semakin luas. Selain layan sessi jamming rakan-rakan Erectus, Bro Eden juga menjemput aku datang untuk menservis gitarnya.
Sessi jamming Erectus ini sebagai persediaan mereka untuk gig *Sarawak Metal Regime 2023 di Sibu bulan September nanti bersama-sama Langsuir, Sil Khannaz, As Sahar, Necrotic Chaos, dll. Kali ini disertai oleh Herman Akmal (NV Unity, Sunday Mirka) sebagai growler.
Cerita pasal servis gitar, Fender Stratocaster Bro Eden ini sudah lama bermasalah dengan tombol volume. Menservisnya agak impromptu dengan tools di studio yang ala kadar. Bro Eden ni geng motor Harley-Davidson, kalau tools untuk repair motor memang banyak, tapi tools yang kecil dan delicate agak terbatas.
Nasib baiklah aku siap sedia bawa beberapa tools yang bisa membantu - ESP multi spanner, string winder, solder sucker dan timah sendiri (Pro'sKit) - timah yang disediakan adalah jenis lambat cair.
Seperti yang aku sarankan ketika menservis bass Ibanez RB630 Roadster II tahun lepas, Bro Eden menyediakan alat ganti yang berkualiti iaitu potentiometer DiMarzio EP1200 custom taper 250k.
Ini bukanlah pickguard yang asal kerana yang asal berwarna putih, pikap dan elektronik pula aku lupa nak tanya cerita. Untuk sebuah Strat MIA, agak pelik kerana menggunakan 5-way switch jenis Alpha dan dua pot mini Gotoh. Mungkin elektronik asal sudah rosak dan diganti dengan apa yang ada ketika ia diservis tahun 2018.
Bro Eden kata selepas ini kalau ada masa mungkin dia minta aku tukar switch pula, aku sarankan guna switch jenis CRL/Oak Grigsby daripada Allparts atau DiMarzio dan tukar sekali kedua-dua pot tone dengan pot DiMarzio EP1200 juga.
Dengan tools yang terbatas, mengambil masa sekitar sejam untuk menyiapkannya, berlatar-belakangkan lagu-lagu Erectus. Teringat ketika menjadi bassist bidan terjun mereka sebelum pandemik dulu. Terlupa pula ambil gambar isi perut setelah selesai untuk diarkibkan di sini sebagai legasi YusTech.
_____
AADI: *Kalaulah gig itu dibuat di Bintulu.
0 comments
Post a Comment