Sabtu (27/09/2025) - Sessi jamming "comeback" di REG Studio sebagai entiti MUP setelah sekian lama dorman. Tiada latihan, hanya harapkan muscle memory untuk memainkan lagu-lagu playsafe yang biasa dimainkan suatu ketika dahulu. Sebenarnya matlamat sekunder adalah untuk memandu uji amp, gitar dan pedal. Juga disertai oleh Asri Cop Kids sebagai bassist jemputan.
Kali ini aku berpeluang menggunakan amp Marshall *JCM800 + 1960AHW REG Studio yang baru diperolehi tahun lepas. Bukan selalu dapat main amp harga 5-digit (rujukan harga - head, kabinet). Atas sebab itu, akses untuk menggunakan amp ini ketika jamming hanya diterhadkan kepada rakan-rakan gitaris terdekat sahaja.
Mulanya ingin membawa Iron Cross, tetapi memilih Swede kerana gilirannya untuk dipandu uji semasa jamming setelah hampir tiga tahun dalam axology. Lebih-lebih lagi selepas dipasangkan dengan kombo PAF Pro/Super 3.
Aku juga ada membawa amp head BanTamP XL Zombie II untuk dipandu uji dengan beberapa kabinet 4x12" yang ada di REG Studio. Di rumah aku hanya pernah menggunakannya bersama-sama kabinet 1x10" Vox V110NT. Di REG Studio aku sempat mencubanya dengan kabinet Randall RG412.
JCM800 REG Studio ini adalah model 2203 Reissue, memiliki effects loop di belakang. Untuk setup aku, pedal MS-70CDR digunakan di sini untuk efek-efek chorus, delay, reverb dan solo boost.
Dua pedal overdrive/distortion yang terpilih dalam entri lepas (GT-OD dan Dark Matter) sebagai front-end booster (max VOLUME, min GAIN). JCM800 ini hanya ada satu channel sahaja dan amat cemerlang untuk bunyi overdriven. Kalau nak clean, kena pandai bermain gain dan tombol volume pada gitar.
Secara tunggal seadanya, bunyi amp ini hanyalah se-rock 'n roll ala AC/DC. Tapi jika ditambah overdrive, ketika inilah karekter lagenda JCM800 itu diperolehi. Bunyi NWOBHM dan early thrash metal memang senang-senang dapat.
Setting yang aku guna - PRESENCE-0, BASS-8, MIDDLE-8, TREBLE-0, MASTER-2, PRE-AMP-5. Tube amp 100 Watts memang agak overkill untuk setup studio jamming, pada VOLUME suku pun sudah kira cukup bingit jika berdiri betul-betul di hadapan amp. Antara sebab kedua-dua tombol PRESENCE dan TREBLE tadi pada nilai minimum.
Azrol pun sempat mencuba Zombie II aku dengan kabinet Laney LX412A. Tapi pendapat aku, kabinet Randall tadi lagi padat bunyinya. Untuk sessi jamming pula Azrol menggunakan amp Ceriatone Overtone Special FM 50. Katanya dia suka bunyi ala Plexi amp ini yang cut-thru.
Post-mortem
- Hagstrom Ultra Swede - Kedudukan suis toggle di belakang bridge yang agak janggal untuk aku yang sudah biasa dengan suis di bahagian atas pikap neck standard Les Paul. Saiznya yang 85-90% lebih kecil berbanding Les Paul juga sedikit sebanyak mengganggu keergonomikan perut aku yang boroi. Respon pikap PAF Pro/Super 3 tetap mantap.
- MXR M193 GT-OD - Tetap ganas memacu amp-amp tiub berbanding overdrive lain dalam axology aku.
- TC Electronic Dark Matter - Sebagai booster, bunyinya agak kelam sedikit (darker), sesuai untuk boosting amp jenis bingit. Jika di-gain stack-kan dengan overdrive lain, contohnya GT-OD di atas, ia boleh menghasilkan distorsi yang ampuh sesuai untuk clean amp.
- Marshall JCM800 2203 Reissue - Amp lagenda antara lagenda, kena ada ilmu kalau nak guna amp ini. Tapi kalau diberi pilihan aku lebih suka menggunakan amp Orange Rockerverb 100 MkIII kerana ada dua channel, built-in reverb dan gain yang tinggi tanpa perlu booster/overdrive.
- Joyo BanTamP XL Zombie II - Dengan kabinet 4x12" barulah keganasan amp ini terserlah. Cukup padat (tight) walaupun pada suku GAIN - sesuailah dengan hype-nya sebagai klon amp Mesa/Boogie Dual Rectifier. Mungkin akan menggunakan amp ini untuk sessi jamming akan datang jika tidak mendapat akses kepada amp JCM800 atau Rockerverb REG Studio.
- Ingin praktis cover lagu-lagu Wings era Orang Asing untuk sessi akan datang.
_____
AADI: *Kalau aku ada dana begini, aku akan pilih model JVM410H yang lebih moden.
0 comments
Post a Comment