Untuk kali kedua, Jackson SDX (aka Mr. Smith) ini menjadi bahan eksperimen pertukaran pikap lagi. Sebab dan alasan untuk tidak menggunakan set Lace Alumitone HSS sudahpun diceritakan dalam entri yang lepas. Jika ingin mengejar tona Adrian Smith, ia sepatutnya dipasangkan dengan DiMarzio Super Distortion seperti versi USA.
Tapi aku hanya ada X2N dalam stok peribadi. Daripada berbelanja lagi untuk seketul pikap DiMarzio, baik guna sahaja apa yang ada. Lagipun X2N ini merupakan humbucker beroutput paling tinggi dalam katalog DiMarzio pastinya amat sinonim untuk gitar-gitar metal.
Dalam kesempatan yang ada, dilekatkan sticker aluminium (shielding) yang diperolehi daripada kedai hardware, dan sticker corak carbon fiber pada bahagian hadapan untuk penampilan yang lebih keren seperti abangnya si So-Cal.
Kali ini aku sudahpun memiliki hot air gun (senapang udara panas?), melekatkan sticker CF ini menjadi lebih mudah berbanding ketika projek ex-Johnny beberapa tahun lepas ketika itu masih menggunakan seterika.
Sebagai peneman X2N tadi, pikap neck dan mid asal (BHK) dipasang semula. Aku bukanlah peminat *singlecoil, ironinya aku suka pula karekter bunyi kedua-dua pikap singlecoil ini. Selepas dijenguk, pikap BHK ini adalah jenis stacked humbucker (noiseless, SCN replica?).
Pendawaian ikut pendawaian asal SDX juga menggunakan pot dan suis lima arah asal (Cor-Tek). Dengan sekali pembetulan untuk menyongsangkan kutub X2N supaya terjadi out-of-phase pada kedudukan keempat (mid/bridge) suis lima arah.
Kerja pemasangan pikap dan memateri tidaklah lama, hanya agak leceh kerana neck bolt-on perlu dicabut setiap kali ingin membuka dan memasang pickguard (rujuk entri ini).
Kini, dengan tona high output yang terasa lebih "selesa" selain penampilan yang lebih keren dek sticker CF, lebih bersemangat untuk memainkannya pada musim-musim PKPx ini. Akan dijadikan gitar utama jika ada sessi jamming atau gig yang menggunakan talaan E-standard.
Set Lace Alumitone HSS sebelum ini dipasang semula pada pickguard asal. Serius, kualiti tona set HSS ini memang ampuh jika anda penggemar bunyi ikonik strat, tapi bukanlah pilihan yang terbaik untuk kaki metal. Mungkin akan didagangkan semula atau ada idea gila-gila cari strat murahan - Squier Bullet/Affinity HSS - dan dipasangkan set ini.
_____
AADI: *Ada bajet, akan digantikan dengan jenis rail untuk mengejar tona Murray/Gers.
0 comments
Post a Comment