Dihantar sebuah lagi gitar untuk diservis oleh rakan yang sama menghantar Explorer dan King V dalam entri lepas. Kali ini sebuah Ibanez Gio GRG250P untuk projek restorasi sebagai cabaran mengembalikannya menjadi sebuah gitar yang berfungsi.
Buatan China batch 2017 berdasarkan nombor siri, pendapat aku kualiti pertukangannya setaraf dengan Ibanez buatan Indonesia. Ia mengingatkan aku kepada gitar elektrik pertama aku ex-Mephisto (GRG270) dan full-fledged RG aku ex-Replacement (RG350M).
Gitar ini dihantar dalam keadaan seperti sudah lama tergantung berdasarkan debu, sawang, daki residu manusia dan fretboard yang kering.
Juga nampak tanda-tanda gitar ini selalu diguna (high mileage) ketika era perdananya berdasarkan besi fret yang haus dan melekuk.
Pickguard terbuka dengan keadaan isi perut yang teburai, potentiometer dan suis asal ada disertakan bersama tetapi dalam plastik lain. Katanya tuan punya pernah cuba untuk membaiki pendawaian tetapi tidak berjaya dan kemudiannya terbiar begitu sahaja.
Begitu juga dengan bridge Edge-III yang masih ada residu manusia melekat dan sudah kering selain berdebu dan bersawang.
Sebelum memulakan proses pendawaian semula, keseluruhan gitar dibersihkan dan dicuci dengan produk Jim Dunlop.
Ketiga-tiga pikap (Infinity R/RS) masih berfungsi, potentiometer volume, tone dan suis 5-arah digantikan dengan unit baharu (Alpha MIK, Lazada). selepas proses pematerian, wayar-wayar diikat kemas untuk meneruskan legasi YusTech..
Dipasangkan dengan set tali D'Addario EXL120 (9-42) diintonasi dan ditala pada E-standard. Kini ia sudah boleh kembali beraksi.
Fretboard pun kini nampak lebih hitam berkilat setelah dicuci dan dirawat menggunakan produk penjagaan fretboard Jim Dunlop.
Suatu ketika dahulu versi Gio pun guna bridge Edge-III, sama seperti gitar 1Malaysia si Korawk (GRG270), ex-Mephisto aku GRG270 batch 2009 masih menggunakan bridge ILT. Walaupun ada yang tak suka Edge-III tapi pada pendapat aku ia lebih tegap berbanding Floyd Rose Special atau locking bridge jenis licensed.
Satu lagi kelebihan Edge-III, bahagian cangkuk spring tremolo yang berhubung dengan blok dikunci dengan mekanisma berskru, jadi kebarangkalian untuk spring tercabut amatlah rendah. Mekanisma ini tiada pada Floyd Rose Special.
Gitar kedua diservis tahap restorasi untuk tahun ini selepas Lagoon (RGA42FM). Kalau kerja-kerja restorasi atau servis yang melibatkan kerja kayu atau besi (contoh, refretting) memang aku tolak, kerana aku tidak memiliki peralatan dan ilmu yang cukup, buat masa ini...
_____
AADI: Kadang-kadang mencari masa terluang pun menjadi faktor.
0 comments
Post a Comment