Ini antara satu daripada aktiviti keluarga kami ketika bercuti di Kundasang bulan lepas, tapi hanya aku dan anak-anak buah sahaja yang pergi. Juga satu daripada bucket-list aku untuk mendaki Bukit Mesilou dengan lutut bermasalah osteoarthritis.
Tiada yang percuma di Kundasang, memanjat bukit ini pun berbayar RM5.00 untuk dewasa (kanak-kanak aku lupa). Pergi seawal 6.00 pagi jogging dari homestay kononnya untuk menyaksikan matahari terbit di puncak. Malangnya pagi itu hujan renyai-renyai dan keadaan masih berkabus tebal.
Proses pendakian tidak banyak didokumentasikan, aku lebih fokus pada langkah kerana keadaan permukaan tanah yang agak licin kerana hujan gerimis. Hanya sekali sekala mengeluarkan telefon pintar untuk mengambil gambar.
Mendaki bukit ini taklah tinggi sangat walaupun puncaknya, 3Sixty Peak direkodkan sebagai 1563 meter tinggi, tapi kawasan Mesilou ini pun sudah berada sekitar 1000 meter dari aras laut. Bagi aku, cabaran utama bukanlah stamina (geng boxing beb), tapi lutut bermasalah osteoarthritis membuatkan setiap langkahan mendaki, semakin tajam rasa sakit di bawah tempurung lutut.
Sampai di puncak terasa sedikit kecewa, kerana keadaannya tidak seperti dalam gambar atau video YouTube yang pernah ditonton. Suasana agak suram, tiada bendera warna-warni berkibar.
Buaian tertinggi ini pun tidak dapat digunakan (berkunci?), mungkin kami tiba masih terlalu awal (~6.30 pagi) dan ia belum beroperasi. Begitu juga warung kopi di atas ini, adakah kami tiba bukan pada musim puncak/cuti?
Apa yang menarik ialah platform Mesilou Viewing Point ini merupakan tempat paling tinggi di atas puncak bukit ini. Terdapat dua platform menghadap kedua-dua hala timur dan barat khas untuk menyaksikan matahari terbit dan terbenam.
Sejak mula mendaki sehingga ke puncak cuaca memang tidak berubah, hujan renyai-renyai dan gerimis bersilih ganti. Kabus yang tebal juga menghadkan pemandangan, tapi terasa macam di Scotland pula, macam latar belakang filem Highlander.
Selepas kembali turun, hujan pula makin lebat. Tersadailah di pondok kaunter tiket hampir setengah jam sebelum kembali ke homestay di bawah sana.
Ini pemandangan dari depan homestay ketika kami checkout sekitar 9.30 pagi. Antara pemandangan Gunung Kinabalu yang paling jelas dalam galeri aku. Selebihnya diselubungi awan dan kabus.
Aku tidak serik untuk ke sini lagi, cuma pemanduan untuk ke sini sedikit mencabar dengan jalan raya berbukit berliku-liku. Lebih-lebih lagi jika anda jenis cepat mabuk, pening atau gayat. Mungkin tahun-tahun berikutnya akan merancang lagi. Sememangnya aku lebih suka healing-healing di tempat tinggi dan/atau kawasan sungai berbanding pantai atau pulau-pulau.
_____
AADI: Bukit Maragang pula lepas ni?
0 comments
Post a Comment