Lebih separuh hayatku berada di negeri orang berbanding negeri sendiri (Sabah). Tak banyak tempat-tempat di Sabah yang pernah aku jejaki, paling jauh pernah pergi ialah Poring Hot Springs bersama sepupu-sepapat aku sekitar 2008. Belum rancak berblog ketika itu, jadi tiada rekod dalam AADI.
Pernah merancang untuk ke Kundasang sekitar 2017, tapi terpaksa dibatalkan atas sebab Mrs. Ijau mengandung si Arlo ketika itu. Akhirnya tahun ini barulah ia menjadi kenyataan dengan menyertai rombongan bersama keluarga kakakku (ibu Aizuddin Madani) pada 23 dan 24/11/2024.
Berikut antara ringkasan tempat yang dilawati selama dua hari. Kalau rajin aku akan buat entri berasingan kelak (kalau rajin~). Harap maaf kerana tak letak banyak gambar, kebanyakkan gambar menarik dalam galeri telefon aku adalah selfie /wefie dan gambar-gambar bersama ahli keluarga.
23/11/2024
- Kundasang War Memorial - Ini lawatan secara impromptu ketika sampai di Pekan Kundasang. Tempat ini merupakan memorial berbentuk kubu (fort) untuk memperingati tentera British dan Australia yang menjadi tahanan perang tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua yang terkorban ketika kawat maut dari Sandakan ke Ranau (Wikipedia).
- Desa Dairy Farm - Merupakan rancangan aktiviti utama kami ke Kundasang, tempat yang sinonim dengan Little New Zealand. Aku ingatkan kami datang waktu bukan musim cuti sekolah atau perayaan, taklah ramai pengunjung. Rupanya sangkaanku meleset, waktu kami datang sessi 11.00 pagi pun sudah sesak dengan pengunjung. Antara produk Desa di sini yang selalu aku beli ialah susu berperisa kopi.
- Anjung Rehat Jamsari (Facebook) - Check-in sekitar 1.30 petang, merupakan homestay tempat penginapan kami, berlatar belakangkan gunung Kinabalu di ruangan anjungnya. Makan Maggi kari di anjungnya sambil merenung Gunung Kinabalu yang megah, maka tercapailah satu daripada bucket list aku - *makan Maggi kari di Kundasang.
- D'Mesilau Rabbit Garden - Sebelah petangnya singgah di sini membawa anak-anak untuk bermain arnab yang jinak-jinak. Terletak di kawasan lereng Bukit Mesilou tak jauh daripada homestay kami.
- Dumo Tree House - Bersebelahan Rabbit Garden, di sini hanya aku, si autis Junior dan Arlo bertiga sahaja yang pergi. Kalau gayat, memang tidak disarankan ke sini.
24/11/2024
- Mesilou 3Sixty Peak (Facebook) - Antara bucket list aku untuk *memanjat Bukit Mesilou dengan lutut yang bermasalah osteoarthritis sebagai cabaran. Pintu masuknya terletak atas sedikit daripada Rabbit Garden. Jogging ke sana dari homestay seawal 6.00 pagi, tapi sayangnya suasana hujan gerimis dan pagi berkabus tidak dapat melihat matahari terbit.
- Alpaca Club (Facebook) - Inipun agak impromptu, menunaikan hajat anak-anak nak tengok binatang alpaka. Singgah di sini sekitar 10.00 pagi selepas checkout homestay. Tiketnya agak mahal per masa lawatan iaitu 30 minit sahaja per sessi/rombongan. Ini katanya untuk menanggung kos ternakan alpaka yang tinggi terutama membeli makanan yang diimport.
- Kinabalu Park - Hanya berlegar di kawasan menyambut tetamu/pelawat dan Kinabalu Geopark Gallery sahaja dan tidak masuk sampai ke dalam. Ketika ini kepalaku mula terasa sakit akibat altitude sickness, yang berlarutan sehingga esoknya. Mungkin juga efek memanjat Bukit Mesilou pada sebelah pagi sambil meredah hujan gerimis.
Menamatkan lawatan sekitar 12.30 tengah hari, dan kami semua kembali ke Kota Kinabalu. Keluarga kakakku balik ke kampung manakala kami bermalam di KK kerana penerbangan balik Bintulu pada keesokkan paginya sebelum subuh.
Selepas ini akan merancang ke tempat-tempat pelancongan sekitar Pedalaman Bawah (Keningau, Tenom, Sipitang) berdekatan dengan kampung supaya dapat mengumpulkan kesemua keluarga adik-beradik. Cara untuk kami terus bersilaturrahim selepas pemergian ibu dan ayah.
Post-mortem:
- Tiada tempat yang percuma di sini, semua berbayar untuk masuk.
- Kawasan tanah tinggi sekitar 1500 m dari paras laut. Tekanan udara rendah, kepala perlukan sedikit masa untuk beradaptasi dengan tekanan dan suhu rendah.
- Suhu di sini pastinya sejuk, suhu malam boleh mencecah sekitar 15-17 °C. Jika ingin bermalam, pastikan cukup bekalan pakaian panas.
- *Dua bucket list tertunai.
_____
AADI: Beberapa hari sebelumnya pun katanya Bro Sub ada di Kundasang.
0 comments
Post a Comment