Azrol menghantar EC-1000VB (ex-Deluxe aku) beberapa hari lepas untuk dipasangkan dengan sepasang Seymour Duncan Blackouts AHB-1N yang sudah lama terperap dalam stok peribadi aku.
Set EMG ALX/H1N sebelum ini didagangkan semula secara *trade-in dengan sedikit tambahan tunai untuk set Blackouts ini.
Pertama sekali lubang untuk potentiometer dibesarkan kerana alur skru pot 25k Blackouts ini berdiameter 3/8" (~9.52 cm) sama seperti diameter pot CTS. Step drill bits digunakan untuk kerja ini.
Blackouts ini jenis hardwired dan bukannya easy-connect seperti EMG. Skematik pendawaian pikap aktif sebenarnya sama sahaja seperti pikap pasif, hanya berbeza nilai pot (25k), tambahan wayar (merah) untuk disambung kepada terminal positif bateri 9V dan output stereo.
Azrol juga membekalkan suis toggle baharu Allparts untuk menggantikan suis lama yang bermasalah. Keseluruhan kerja-kerja pematerian mengambil masa sekitar sejam. Banyak masa dihabiskan untuk menyusun wayar supaya nampak kemas berbanding memateri. Seperti biasa, diikat dengan cable tie untuk meneruskan legasi YusTech.
Ini projek yang tertangguh sejak tahun lepas, mulanya Azrol ingin mencari set EMG (81, 85 atau 60). Tapi aku menawarkan kedua-dua unit AHB-1N ini yang telahpun cemerlang dipandu uji untuk kedua-dua posisi neck dan bridge Shiro, pada harga yang lebih munasabah berbanding harga runcit terkini EMG.
Apa yang aku perasan, masalah utama jika menggunakan pikap pasif pada gitar ini kerana ia tiada wayar bumi (grounding) disambung pada bridge. Jadi tanpa grounding yang sempurna, humming pikap pasif memang pada tahap menjengkelkan. Pilihan ada dua, sama ada buat grounding terus ke bridge ataupun guna pikap aktif.
EC-1000VB ini sememangnya cemerlang dengan pikap aktif berbanding pasif, aku pernah memasangkannya dengan set EMG 81/85 Metal Works Gold dan set EMG 81/60 sebelum dilepaskan bersama-sama set EMG ALX/H1N.
Ini merupakan gitar utama Azrol untuk talaan rendah, digunakan ketika rakaman dan persembahan bersama-sama Larrong. Katanya feel dan mojo gitar ini memang berbeza berbanding M-103FM (ex-Mirage) dan DK2 (ex-Dinky).
_____
AADI: *Mungkin akan dipasang sama ada pada Tigera atau Horizon..
0 comments
Post a Comment