Deluxe yang baru saja kehilangan set *EMG 81/85 emas minggu lepas, dipasang pula dengan set EMG 81/60 (hardwired) yang dikeluarkan daripada Shiro.
Pendawaian dalaman gitar ini hanya sesuai untuk pikap aktif EMG kerana tiada sambungan wayar bumi (earth/ground) daripada bridge. Kalau pasang pikap pasif akan mengalami masalah pembumian (grounding) dan perlu sedikit modifikasi.
Aku mengambil keputusan memindahkan set EMG 81/60 daripada Shiro, dan Shiro kemudiannya akan dipasangkan dengan set pikap pasif.
Baru ada kesempatan mengintai route kaviti pikap Shiro, ternyata ada satu perbezaan berbanding gitar lain yang pernah aku intai sebelum ini - ada wayar bumi (grounding) pada route kedua-dua kaviti pikap yang ada kaitan dengan fungsi sebuah Faraday cage.
Tidak mampu untuk mereplikasi susunan wayar pada Shiro sepenuhnya dalam Deluxe ini kerana routing isi perut yang berbeza. Hanya kaedah mengemaskan wayar dengan cable tie untuk meneruskan legasi YusTech.
Routing isi perut Shiro ini pula lebih sesuai untuk pikap pasif, kerana tiada ruang khas untuk bateri seperti Deluxe. Proses pertukaran bateri akan menjadi leceh kerana perlu membuka enam skru berbanding hanya dua pada Deluxe. Ia juga tersedia dengan wayar bumi daripada bridge, yang dalam kes ini tidak disambungkan pada litar EMG.
Kini isi perutnya kosong, yang tinggal hanyalah wayar bumi daripada bridge, kaviti pikap perenggan keempat tadi dan wayar-wayar daripada 3-way toggle switch.
Dalam kesempatan yang ada, fret Shiro digilap dan fretboardnya dirawat dengan lemon oil. Sementara menunggu alat ganti yang dipesan sampai, ia disimpan dalam peti sehingga tiba masa untuk projek seterusnya.
Keseluruhan projek - mengeluarkan EMG daripada Shiro dan memasang semula dalam Deluxe - mengambil masa 4-5 jam, termasuk masa rehat. Ia dilakukan dengan berhati-hati kerana kedua-dua gitar ini antara yang bernilai tinggi dalam axology aku.
Kini dengan set EMG 81/60 hitam, ia kembali kepada penampilan asal EC-1000VB. Sememangnya gitar ini amat ampuh dengan set EMG, serasi dengan fungsinya sebagai sebuah gitar metal. Nak main medium output, Les Paul ada...
Shiro pula dirancang akan dipasang dengan set Lace Alumitone/Deatbucker yang baru saja dikeluarkan daripada Goldie seperti perancangan awal ketika set pikap ini diperolehi.
*Lain cerita, set EMG 81/85 emas tadi sudah selamat diterima oleh pembeli minggu lepas. Dan kini ia kembali berjejak kasih dengan gitar perumah asalnya iaitu Epiphone Bjorn Gelotte Les Paul Custom. Ini antara gitar idamanku sebelum memiliki EC-1000VB.
_____
AADI: Cuba untuk tidak membeli pikap lagi tahun ini.
0 comments
Post a Comment