Setelah lapan bulan tempoh bertenang, baru ada keinginan dan semangat untuk memasang set pikap Lace Alumitone HSS loaded pickguard yang tersadai ini pada Woody (Cort G200DX). Tujuan utama gitar ini diperolehi tahun lepas pun semata-mata untuk menjadi perumah kepada set ini.
Ironinya, kalau ikut harga pada website Lace, set pikap ini lebih mahal berbanding harga runcit Cort G200DX. Tapi mujurlah aku berjaya memperolehi kedua-duanya pada harga yang amat tersenyum.
Saiz dan dimensi pickguard G-series Cort tidak sama dengan pickguard Stratocaster Fender/Squier, jadi pickguard asal Lace tidak digunakan. Hanya elektronik sahaja dipindahkan ke pickguard G-series dengan sedikit modifikasi daripada konfigurasi volume/tone/tone kepada volume/tone sahaja.
Bila menjenguk bawah pickguard, tidak disangkal lagi pertukangan kayu kilang Cort memang ampuh sehingga ke dalam walaupun ia model murahan. Keseluruhan kaviti pikap siap dicat dengan cat konduktif (fungsi Faraday cage) dan juga mampu menampung konfigurasi HSH. Contoh kaviti pikap yang agak teruk boleh rujuk entri ini.
Set pikap asal Cort Powersound biasa-biasa sahaja. Aku tiada masalah dengan set single coil, tapi kurang berkenan dengan respons pikap bridge. Penyelesaiannya, kembali merujuk perenggan pertama tadi.
Pendawaian asal menggunakan komponen Alpha juga kemas. Hanya wayar output dan bumi (earth/ground) sahaja yang akan dinyahpateri. Selebihnya tidak diganggu, dibiarkan seadanya dan disimpan dalam arkib.
Dalam kesempatan yang ada, fret-fret yang agak kusam digilap sehingga berkilat menggunakan Dunlop System 65 Micro Fret Cloth. Ini akan menjadi rutin tahunan untuk kesemua gitar-gitar aku.
Sedikit modifikasi pada pickguard amat perlu untuk memuatkan pikap single coil Alumitone yang dimensinya berbeza berbanding single coil biasa. Pateri panas digunakan untuk potongan kasar, pisau untuk potongan halus dan diratakan dengan kikir.
Dan akhir sekali mengambil masa sekitar 10-15 minit untuk proses memasang elektronik, hanya perlu memateri wayar output dan bumi (earth/ground) sahaja. Masa lebih banyak dihabiskan ketika proses memotong pickguard dan menggilap fret tadi.
Dengan tambahan elektronik Amerika, gitar ini kini terasa semakin ampuh. Tema krom dan hitam Alumitone ini juga amat cocok dengan tema gitar, +1 dari segi penampilan. *Nak cerita pasal tona, rasanya tak perlulah, nanti temberang saja lebih. Tapi masalah yang dikesan seperti ketika set ini dipasang dalam ex-Mr. Smith (spacing related) tiada pada gitar ini - mengesahkan teori aku.
Juga dibelanja dengan set tali baharu GHS Boomers GB8.5 (8.5-40) diintonasi dan ditala E-standard. Gitar ini menjadi gitar bilik/harian yang sentiasa di atas stand. Juga akan dikhaskan untuk jamming dalaman atau persembahan bersama-sama geng tempat kerja yang lebih memainkan lagu-lagu mainstream sesuai dengan konfigurasi pikap HSS yang agak versatile.
_____
AADI: *Juga antara litar pasif yang senyap hampir tiada hum.
0 comments
Post a Comment