Memulakan 2025 dengan entri POV Sarawak Metal Regime 2024 minggu lepas. Entri ini bukan ulasan gig, lebih kepada pengalaman aku sebagai peserta dan penonton. Untuk ulasan yang menarik boleh layari website Malaysia Music Scene.
Sepanjang cuti sekolah dan Krismas kami sekeluarga bercuti di Kuching, hari Jumaat (27/12/2024) baru bertolak ke Sibu. Sudahpun menempah bilik keluarga di RH Hotel lebih awal supaya senang untuk aku berulang-alik ke lokasi gig Hijau Lounge yang berada di tingkat bawah hotel.
Kali terakhir aku ke Sibu empat tahun lepas ketika musim pasca PKP dalam perjalanan ke Kuching untuk urusan kesihatan Mrs. Ijau. Selepas itu dengan siapnya lebuh raya Pan Borneo, bandar Sibu tidak lagi dilalui (bypassed) setiap kali ke Kuching.
Sabtu (28/12/2024) - Geng-geng lain dari Bintulu katanya bertolak ke Sibu sekitar 9.00 pagi dijangkakan tiba di Sibu sekitar 11.00 pagi dan hanya akan berjumpa dengan mereka di lokasi pada sebelah petang.
Aku tidak dapat menyertai mereka untuk sessi ronda-ronda dan makan di bandar Sibu pra gig kerana aku ada urusan sendiri bersama keluarga pada sebelah pagi dan tengah hari.
Soundcheck dijadualkan pada pukul 4.00 petang, aku sudah berlegar-legar di lobi hotel sekitar 3.40 petang mengintai muka-muka yang dikenali yang keluar-masuk ke Hijau Lounge.
Ketika band Conception sedang soundcheck, ada kelibat Nas Korawk (Dj Nas?) sedang membuat liputan langsung (TikTok?) agak trendy gitu. Sementara menunggu ketibaan kontinjen Bintulu yang lain, aku sempat berborak dengan Nuing yang juga ada di lokasi kejadian.
Kontinjen Bintulu (Erectus, Lost Infidel, Curse Of God) tiba sekitar 4.30 petang, yang juga disertai oleh Asri (Cop Kids/Medusa) yang bertugas sebagai roadie/guitar tech tidak rasmi untuk Azrol dan Bro Eden.
Erectus memulakan soundcheck dengan sebuah lagu sahaja - Syair Siulan Sayu. Untuk persembahan penuh, Erectus akan memainkan enam buah lagu:
- Syair Siulan Sayu
- Komander Teragung
- Saqang
- The Ancient Throne Of Metal
- Gemersik Ritma
- Amarah Duka (Puaka Dunia Part 1)
Untuk gig kali ini Azrol menggunakan ex-Dinky aku (Jackson DK2 Dinky) yang sememangnya lebih serasi dengan Azrol, aku tidak menyesal melepaskan gitar ini kepadanya. Alim pula menggunakan Jackson JS32 Rhoads. Gitar cabang-cabang signature Erectus katanya tidak dapat lagi digunakan kerana sudah rosak akibat banjir.
Rig aku ringkas seperti yang dirancang ketika jamming beberapa minggu lepas - my trusty metallic forest Tommy (Ibanez SR300), wireless Joyo JW-03 dan Zoom MS-70CDR untuk fungsi compressor, sedikit drive dan tuner.
Lost Infidel band yang asalnya dari Kuching kini juga disertai oleh Bro Eden sebagai bassist, menggunakan bass Cort 5-string (A5?), Polytune 3 dan dua buah pedal Microtubes ke amp backline Hartke HD150.
Sessi soundcheck berakhir sekitar 6.00 petang, aku kembali naik ke bilik hotel untuk mandi, urusan keluarga dan rohani. Turun semula ke Hijau Lounge sekitar 7.30 malam.
Imej Malaysia Music Scene. |
Aku tak banyak gambar menarik semasa kejadian, agak malas nak keluarkan kamera. Aku ingin enjoy sebagai penonton, harapkan gambar-gambar ehsan daripada Facebook rakan-rakan (yang public). Sekali lagi, entri ini hanyalah POV aku, untuk ulasan gig yang menarik boleh layari website Malaysia Music Scene. [Updated: Jika ada gambar-gambar menarik, akan aku tambah dari masa ke semasa]
Agak gembira dapat tengok bass ex-Clover aku (Ibanez GSR200EX) masih lagi berkhidmat dengan Curse Of God sejak dilepaskan pertengahan 2012 dulu. Bass ini juga digunakan oleh bassist/vocalist Severe Bleeding. Donny pun masih setia menggunakan Cort VX-2V-nya.
Penting berbekalkan sepasang earplug sebegini untuk menjaga kesihatan telinga dek PA system yang bingit. Dipakai ketika menonton band lain beraksi, tapi dibuka ketika membuat persembahan kerana ingin fokus dengan bunyi-bunyian di atas pentas.
Nuing mula lepak di atas setelah penat seharian di lokasi sejak sessi soundcheck petang tadi. Asri yang kini bertukar kareer daripada roadie/guitar tech menjadi juru kamera pula. Ruangan atas (mezzanine floor) ini dikhaskan untuk band berehat dan menyimpan kelengkapan.
Gig berakhir sekitar 11.40 malam, tapi melepak seketika dengan rakan-rakan di luar Hijau Lounge sebelum naik ke hotel selepas pukul 12.00 malam.
Post-mortem gig:
- Acara diadakan dalam suasana masih musim cuti Krismas, pengunjung yang datang tidak seramai yang dijangkakan. Mungkin ramai yang masih bercuti di luar kawasan.
- Metalhead Sarawak walaupun nampak ganas tapi memiliki mindset one of the best camaraderie in music. Selain keharmonian pelbagai kaum standard Sarawak, gig ini juga disertai oleh OKU - gitaris kidal Baksidik mengalami masalah penglihatan, manakala vokalis Lost Infidel masih lagi bertongkat selepas terapi kaki. Kalau bab usia tak perlu ceritalah...
- Lampu kelip-kelip, putar-putar ala disko semasa persembahan sedikit sebanyak mengganggu visual aku, biasalah mata dah tua, rasa nak pening pun ada. Kalau ada yang photosensitive epilepsy (PSE) sudah pasti akan sawan.
- Perlukan in-ear monitor (IEM) peribadi untuk persembahan pentas bingit sebegini. Selain untuk perlindungan telinga, juga supaya dapat fokus bunyi-bunyian tanpa mengharapkan sepenuhnya monitor atas pentas.
Inilah gig pertama aku di luar Bintulu dan secara rasminya menjadi penutup diari permuzikan aku untuk 2024. Erectus katanya selepas ini akan rehat daripada menyertai gig kerana ingin fokus dengan pembikinan lagu-lagu terbaharu yang kini dalam proses brainstorming. Semoga maju jaya.
_____
AADI: Teringat gig mula-mula berkongsi pentas dengan Erectus belasan tahun lepas.
0 comments
Post a Comment