Entri pertama untuk 2026, berkesempatan menonton filem Avatar: Fire And Ash Ahad lepas (04/01/2026) di GSC Bintulu tayangan paling awal 10.00 pagi. Filem yang (ketika itu) sudah dua minggu basi.
Seperti filem-filem Avatar sebelum ini, dari segi visual memang tidak dapat dinafikan CGI-nya tahap dewa. Ia merupakan sekuel terus filem sebelum ini Avatar: The Way Of Water (2022) dan rupa-rupanya permasalahan dalam filem kedua tersebut masih belum selesai.
Juga masih lagi ada cliché watak budak/remaja degil yang menjengkelkan, pengajaran daripada filem kedua sudah tiada makna. Nampaknya spesies Na'vi pun tidak dapat lari daripada masalah gen-Y. Kalau filem sebelum ini, watak Spider hanyalah watak tempelan yang kalau tak ada pun tak apa. Tapi dalam filem ini, watak Spider merupakan antara plot utama. Selebihnya tak perlulah spoiler sangat...
Cuma aku tertanya-tanya, macam mana tulkun paling alfa boleh ada subang dan kain selendang?
_____
AADI: Bab perang udaranya lebih "Star Wars" berbanding The Rise Of Skywalker.



