Ini pembelian ria (*joybuy) selepas ia diiklankan dalam Facebook Marketplace area Kuching. Ibanez RGA42FM terpakai ini dituntut sendiri ketika bercuti sekeluarga beberapa hari di Kuching minggu lepas.
Ditawarkan pada harga 36% daripada harga runcit semasa (atau 30% ikut harga pra-2022) tapi dengan klausa tanpa pikap. Amat sesuailah dijadikan gitar projek dan kebetulan akupun ada banyak pikap tanpa gitar perumah. Diterima dalam keadaan berdebu dan bersawang, seperti sudah lama berada dalam stor.
Harga ditawarkan tadi adalah termasuk sekali dengan strap Planet Waves, Straplok Dunlop dan gigbag Gator 4G-series. Ketiga-tiga item terpakai inipun kalau diikutkan harga keseluruhan memang sudah dikira berbaloi.
Gigbag ini fizikalnya masih tegap, cuma ada beberapa tempat permukaan agak teruk seperti menjadi tempat kucing mengasah kuku. Tapi setakat untuk membawa gitar turun naik studio jamming sekitar Bintulu masih tiada masalah.
Dengan kemasan bernama blue lagoon burst flat (BLF) ia mengingatkan aku pada kemasan deep sea blonde (DSB) JIVAJR signature Nita Strauss. Sudah lama aku tiada gitar jenama Ibanez dalam axology (bass lain cerita). Kali terakhir ber-Ibanez ketika era ex-Replacement (RG350M) berbelas tahun lepas.
Kaviti pikap jenis direct mount ini agak cetek, bakal memberikan sedikit cabaran untuk mengenalpasti pikap apakah yang bisa muat di dalamnya.
Berat keseluruhan amat ringan sekitar 2.7 kg sahaja tanpa pikap. Calar-balar yang dikesan agak minimum dan hanya sedikit lekukan pada bahagian belakang. Bagi aku dengan kotoran seadanya (residu manusia, debu dan karat) ia masih aku kategorikan sebagai 8/10.
Daripada nombor siri I181109414, ia merupakan buatan November 2018, tapi aku pasti ia adalah model untuk rilisan 2019. Buatan Indonesia, jadi tak perlu risau tentang kualiti pertukangannya.
Badan asas kayu meranti, kemasan atas kayu maple, fretboard pula menggunakan kayu jatoba. Warna kayu jabota ini agak janggal pada gitar gelap atau hitam (contoh), tapi pada gitar berwarna biru, ia agak kontras dan menyerlah. Fret masih 85-90% jangka hayatnya.
Fixed bridge Ibanez, aku sebenarnya tak suka bridge jenis begini, kerana skru terpacak keluar amat menjengkelkan ketika palm mute. Kalau model lama RGA32 menggunakan bridge jenis Gibraltar (rujukan) yang sedikit selesa.
Isi perut yang ok, masih mengekalkan output dan suis 5-arah Ibanez 3SWLSP5. Cuma pot volume dan tone sahaja sudah ditukar kepada jenis CTS, tak pasti jenama apa tapi bukan DiMarzio.
Maka proses restorasi pun bermula dengan pembersihan residu dan debu, kemudian cucian badan dan fretboard menggunakan produk Dunlop. Pikap? Elektronik? Yang ini akan difikirkan kemudian.
Nickname? Buat massa ini ia akan digelar LAGOON atas faktor kemasan blue lagoon burst-nya. Axology aku kembali menjadi sembilan. Tapi perancanganku selepas restorasi ini, ia akan cuba didagangkan semula untuk modal pusingan.
Bersambung...
_____
AADI: *Bahaya ni.