Ini antara entri yang terperap setahun lebih dalam bentuk draft. Ketika itu dapat idea daripada entri Bro Sub cerita pasal strap murahan dan Strap Blocks Ernie Ball. Entri ini diolah semula kebetulan bulan lepas aku ada membeli seutas strap Dunlop D38 Classic Flambe daripada Guitar Collection melalui platform Shopee mereka (satu-satunya pembelian 9.9 tahun ini).
Aku pernah memiliki model yang sama sejak 2009, tetapi telah dijual tahun lepas kepada seorang rakan yang memerlukan strap tegap ketika itu. Bila mengenangkan nilai nostalgik, rasa menyesal pula menjualnya. Jadi strap baharu ini akan ditawarkan sebagai pertukaran untuk mendapatkan kembali strap lama tadi.
Tapi rakan tersebut lebih berminat dengan Fretwrap MKH sebagai pertukaran berbanding strap baharu. Akhirnya, aku ada dua unit strap Flambe ini, yang lama akan terus digunakan manakala yang baharu disimpan sebagai backup atau didagangkan semula.
Kini aku ada tujuh (lapan, jika dikira D38 baharu) utas strap, masing-masing ada ceritanya sendiri. Biasanya setiap satu akan dikhaskan untuk gitar/bass tertentu.
1) Dunlop D38 Flambe - dibeli di Zoso Music Bintulu (masih lokasi lama) penghujung 2009, dan ini merupakan strap tegap pertama aku, dan menjadi strap utama aku untuk beberapa tahun. Kini ia telah kembali, dipasangkan dengan sistem StrapLok dan eksklusif untuk So-Cal.
2) Planet Waves Barbed Wire versi Planet Lock - dibeli di Hollywood Music House cawangan KK Plaza (sudah tutup) pada Julai 2010, sejurus selepas melepaskan ex-Kelly Kelly kepada seorang kenalan sepergitaran di KK. Dulu harganya sekitar RM70+, sekarang rata-rata mencecah tiga digit. Strap ini biasanya digunakan bersama-sama gitar superstrat, mutakhir ini dengan Woody.
3) Dunlop D38 Olive Camo - yang ini dibeli di Guitar Collection cawangan Midvalley Megamall (juga katanya sudah tutup) sehari selepas tengok konsert Metallica Stadium Merdeka 2013. Sama tegap dan keras seperti Flambe, dikhaskan untuk Tommy, kadang-kadang untuk Goldie.
4) Mono Betty versi panjang - dibeli daripada Music Bliss menerusi platform Lazada Oktober 2017, memerlukan strap lebar dan berpad untuk menggalas gitar berat ketika itu (ex-Johnny). Rosak, telah dibaiki tahun lepas dan masih boleh berkhidmat untuk menggalas Les Paul Tigera.
5) Richter #1517MKH Matt Heafy signature - dibeli terus dari website Richter Strap dengan diskaun 15% dan pengeposan percuma bersempena Black Friday 2018. Yang ini untuk menggalas Sven atau Shiro.
6) Richter #1502PG Paolo Gregoletto signature - juga 15% diskaun dan pengeposan percuma seperti #1517MKH di atas tapi bersempena entah apa pada April-Mei 2019. Biasanya digandingkan dengan bass Francesco yang juga merupakan (bekas) signature Paolo Gregoletto. Jika gitar, ia selalu digunakan bersama-sama Deluxe kerana serasi dengan tema hitam-emasnya.
7) Richter #1641 Camouflage Crackle Print - ini pula bersempena Black Friday 2019 tapi dengan hanya 10% diskaun dan pengeposan percuma. Yang ini dipadankan dengan gitar putih, dulu ex-Mr. Smith sekarang Shiro.
[Ini entri asal] Bagi aku, strap gitar melambangkan identiti pemain dan daya tarikan semasa di atas pentas selain gitar yang digalas. Strap gitar ini penghubung antara pemain dan gitar, jika bermasalah di sini maka hubungan antara gitar dan pemain akan terjejas.
Dalam local scene Bintulu setiap kali ada gig, apa yang aku perhatikan strap seolah-olah tidak diberikan perhatian. Ramai yang guna strap ala kadar dan paling menggerunkan tanpa sebarang mekanisme pengunci (strap lock) walaupun tuannya adalah jenis yang hyperactive di atas pentas. Aku pernah menyaksikan beberapa kali strap tercabut semasa persembahan, mujurlah sempat ditangkap sejurus sebelum headstock mencium lantai...
|
Antara yang bijak memilih strap. |
Nasihat aku, belilah sekurang-kurangnya strap yang berjenama gitar (Fender, Ibanez, Epiphone, dll.) atau berjenama produk berkaitan gitar (D'Addario, Dunlop, GHS, Ernie Ball, dll.). Material yang premium sikit itu hanyalah opsyen yang penting jangan lupa strap lock.
Aku semenjak peristiwa ini, pantang gitar-gitar aku kalau tak ada strap lock tak kisahlah apa jua teknologi dan jenamanya - dari secanggih-canggih Dunlop Straplok, Hennessey atau Loxx sehinggalah low-tech plastik Dunlop Lok Strap dan getah Strap Blocks Ernie Ball.
_____
AADI: Cerita string dan cerita pick menyusul.